Gambar Hina PM: Wartawan Melodi Mohon Maaf, Dakwa Hanya Gurau


Wartawan Melodi, Zuan membuat permohonan maaf gara-gara keterlanjurannya menyiarkan satu foto yang menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam badan seorang wanita.

Pelbagai kritikan dan cemuhan yang diterimanya hanya kerana sekeping gambar kontroversi yang disiarkannya itu.

Menulis di laman Instagram, Zuan membuat permohonan maaf kepada PM serta semua pihak yang terguris dengan postingnya dalam laman sosial itu.

“Salam hormat kepada semua dengan seikhlas hati dan diiringi rasa rendah hati, saya Zuan Azmi dengan ini ingin sekali lagi memohon maaf atas keterlanjuran tindakan saya dalam bergurau sesuatu yang tidak sepatutnya dilakukan ke atas gambar YB Perdana Menteri Malaysia.”

“Dengan ini saya memohon maaf kepada Datuk Seri Najib Razak serta keluarga dan mana-mana individu atau rakyat Malaysia yang terkesan dengan posting saya itu. Untuk makluman, gambar berkenaan bukanlah saya yang edit, cuma saya perolehi dari beberapa Whats App Group saya setelah menjadi topik perbualan.

“Caption ‘Amboi posing takmau kalah no’ juga bukanlah posting menghina seperti yang didakwa segelintir pihak, namun ianya adalah gurauan dan sesuatu yang tidak patut dilakukan ke atas pemimpin negara,” jelasnya lagi.