Cubaan Pati bersembunyi gagal selepas ditahan penguatkuasa. Foto Jabatan Imigresen Kedah |
ALOR SETAR - Taktik pemilik premis yang menjalankan kegiatan tidak bermoral di sebalik pusat urut tradisional di Mergong, di sini tidak berjaya mengaburi mata pihak berkuasa apabila pusat itu diserbu dalam Ops Sayang, kelmarin.
Bertindak atas maklumat, Penolong Pengarah Imigresen Kedah, Nar Azaman Ibrahim mengetuai operasi itu bermula jam 5 petang disertai lapan pegawainya.
Ketika serbuan, ada pendatang asing tanpa izin (Pati) cuba melarikan diri menggunakan tali diikat pada beranda, namun gagal memandangkan kawasan berkenaan sudah dikepung penguatkuasa.
Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, 13 Pati dan dua warga tempatan ditahan dalam pemeriksaan di lima pusat refleksologi.
“Dalam operasi di premis pertama, seramai empat wanita Thailand ditahan manakala selebihnya pula ditahan di empat lokasi berbeza.
“Kesemua Pati warga Thailand ditahan berusia antara 21 hingga 42 tahun. Dua lelaki tempatan yang dipercayai pemilik premis pula berusia 28 dan 50 tahun,” katanya.
Melalui pemerhatian katanya, pihak mereka mengesyaki pemilik premis melakukan aktiviti tidak bermoral dengan berselindung di sebalik konsep pusat urut tradisional.
Katanya, semua warga Thailand memiliki dokumen perjalanan sah, namun ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan dengan melakukan aktiviti tidak bermoral.
"Mereka disiasat di bawah Per.39(b) Peraturan Peraturan Imigresen 1963, manakala dua lelaki tempatan didakwa melindungi Pati disiasat di bawah Sek.56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63(Pind.2002).
"Warga asing ditahan di lokap Imigresen di Bangunan Kementerian Dalam Negeri Anak Bukit untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya.
Sumber: Sinar Harian