Gencatan senjata itu dikuatkuasakan selepas pertempuran semakin meningkat di Zabadani. |
BEIRUT - LUBNAN . Gencatan senjata baharu selama 48 jam antara tentera prokerajaan Syria dan kumpulan pemberontak telah dipersetujui, menurut kumpulan pemerhati hak asasi manusia (SOHR), kelmarin.
Jurucakapnya memaklumkan pertempuran telah dihentikan selepas ia akan berkuatkuasa di Zabadani dan dua perkampungan Fuaa dan Kafraya.
Terdahulu, Setiausaha Agung parti Tadamun, Mohammed Abu Qassem dan pengantara rundingan tersebut mengesahkan gencatan senjata tersebut bermula pada jam 6 pagi (waktu tempatan).
Difahamkan, gencatan senjata pertama selama dua hari telah dikuatkuasakan pada 12 Ogos lalu, namun tempoh tersebut dilanjutkan selepas perunding gagal untuk mencapai persetujuan baharu.
Sebelum ini, rundingan itu turut berbincang mengenai penarikan semula kumpulan pemberontak dari Zabadani sebagai pertukaran untuk memindahkan orang awam dari Fuaa dan Kafraya atau menghantar bantuan kepada penduduk.
Selain itu, kumpulan pemberontak juga menuntut pembebasan tahanan dan perkara itu masih dalam perbincangan.
Fuaa dan Kafraya adalah satu-satunya perkampungan di wilayah Idlib, barat laut Syria yang masih dikuasai kerajaan selepas perikatan pemberontak semakin mara pada awal tahun lalu. - AFP