Gereja Tengkorak Simpan Sebanyak 70,000 Tengkorak Manusia


Sekali lihat, umpama set filem Pirates of the Caribbean. Osuari Sedlec di Republik Czech dianggarkan mempunyai 40,000 hingga 70,000 tengkorak manusia yang kebanyakannya mati akibat wabak pada 1318 serta Perang Hussite pada kurun ke-15.

Digelar ‘Gereja Tengkorak’ bangunan itu dihiasi tengkorak yang dibersihkan sebelum disusun supaya kelihatan menarik termasuk cawan dan candelier. Malah ada juga lambang keluarga yang dibentuk menggunakan sisa tengkorak.

Lokasi di bawah sebuah gereja itu juga mempamerkan ‘panji-panji’ diperbuat daripada tengkorak yang disusun cantik di celah cawan besar, kaki lilin dan piramid yang semuanya diperbuat daripada tulang manusia.

Candelier utama dihasilkan menggunakan hampir setiap jenis tulang dalam badan manusia, termasuk tujuh cabang diperbuat daripada tulang belakang manakala tengkorak dijadikan tempat meletakkan lilin. Reka bentuknya dikatakan membayangkan haiwan berkepala tujuh sama seperti dinyatakan dalam Bible.

Kisah di sebalik ‘Gereja Tengkorak’ juga agak menggerunkan. Semua tengkorak itu dikatakan diperoleh daripada perkuburan gereja itu yang ditutup pada akhir kurun ke-15. Pada 1870, tukang kayu Frantisek Rint ditugaskan menggunakan tulang berkenaan sebagai hiasan.


Untuk memastikan warna hiasannya seragam, dia memutihkan setiap satu daripadanya menggunakan peluntur.

Walaupun pelik, Osuari Sedlec bukannya satu-satunya tempat seumpama itu, malah Osuari Brno mempunyai koleksi tulang-temulang lebih banyak iaitu 50,000. 

Sumber: myMetro