GHB Dakwa Konsep Kepimpinan Ulama Sekat Pemimpin "Berkharisma"?

ROMPIN – Konsep kepimpinan ulama yang menjadi Pas selama ini perlu ditukar kepada konsep kepimpinan Islam kerana jika ia terus digunapakai akan berlaku perpecahan manakala menjadikan ulama seolah pemilik Pas.

Demikian luahan Ketua Penyelaras Harapan Baru Pahang, Dr Hamzah Jaafar sambil menegaskan konsep berkenaan juga menyekat pemimpin lain yang mempunyai karisma tetapi tidak boleh naik dalam kepimpinan parti kerana bukan seorang ulama.

“Perkara ini telah saya suarakan dalam muktamar pada tahun 2009 yang ketika itu saya mewakili Pas Pahang meramalkan perpecahan itu akan berlaku. Pada tahun ini ramalan yang saya buat itu betul-betul berlaku apabila golongan yang buat kerja atau profesional ini semua gugur.

“Ia dirancang dengan begitu tersusun hingga (G18) tidak lekat langsung jawatan dalam muktamar baru-baru ini. Pemimpin dalam Islam tidak terikat dengan ulama sebaliknya dengan kebijaksanaan dan takwa,” katanya dalam Forum ‘Apakah Dan Mengapa Harapan Baru?’ anjuran Aspirasi Rakyat Marhaen (ARM) yang diadakan di Rompin Beach Resort (RBR) baru-baru ini.

Turut hadir sebagai panel forum Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan Aliman dan bekas pimpinan Pemuda Pas Johor, Mohd Azam Razak  yang turut dihadiri kira-kira 100 tetamu.

Dalam pada itu, beliau turut menegaskan terdapat satu lagi ramalan yang menjadi intipati ucapannya dalam muktamar pada tahun 2009 itu iaitu pertembungan golongan ulama dalam Pas juga akan berlaku.

Menurutnya, ulama dalam Pas juga terdiri daripada tiga golongan masing-masing ulama dari timur tengah, ulama dari gugusan India dan ulama dari univerisiti tempatan yang bakal meletakkan parti bukan dalam keadaan yang baik serta tidak selamat.

Beliau turut menjelaskan bahawa kemunculan Harapan Baru dengan asas yang cantik namun pendekatan perlu diubah mirip kepada parti AKP Turki yang kini telah berjaya memerintah negara yang dikenali sebagai sekular itu selama 13 tahun.

“AKP Turki juga merupakan parti serpihan dan pemimpinnya juga pada awal perpecahan turut dihukum pemimpin parti lamanya sebagai munafik.

Keadaannya kurang lebih sama dengan Harapan Baru tetapi AKP Turki telah membuktikan mereka kekal memerintah hingga kini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian