GHB Terbuka Untuk Semua Termasuk Abdul Hadi, Majlis Syura PAS - Mat Sabu


Pengerusi Gerakan Harapan Baharu (GHB) Mohamad Sabu menjelaskan bahawa keahlian GHB adalah terbuka kepada semua pihak yang berminat termasuklah Presiden PAS sendiri, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Kata Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu, keahlian GHB juga dibuka kepada semua anggota Majlis Syura Ulama PAS.

Mengulas mengenai desas-desus yang mengatakan anak bekas Mursyidul Am PAS akan menyertai GHB, Mat Sabu menjelaskan pihaknya akan bertemu dengan Nik Omar Nik Abdul Aziz bagi mengesahkan perkara tersebut.

“Kita (GHB) akan periksa dan rakan kita akan buat pengesahan dan bertemu beliau,” katanya yang dipetik dari Bernama, sejuruh selepas majlis pelancaran GHB Selangor di ibu negara, malam tadi.

Nik Omar
Sebelum ini, heboh diperkatakan kononnya Nik Omar akan menyertai GHB ekoran tersebarnya sekeping gambar beliau bersama Pengerusi GHB Kelantan Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah pada satu majlis di laman sosial.

Mat Sabu bersama konco-konconya yang tewas dalam pemilihan PAS sebelum ini telah menubuhkan GHB yang dikatakan lebih "syumul" dan berkonsepkan "Islam sebenar" berbanding PAS.

Sementara itu, Abdul Hadi pula gembira dan tidak risau dengan tindakan segelintir ahli PAS yang menyertai GHB kerana mendakwa ia adalah merupakan satu strategi "pembersihan" di dalam parti yang beliau ketuai.

Pada Muktamar PAS yang lalu, Abdul Hadi turut menyindir segelintir pihak yang dikatakan merosakkan perjuangan parti itu dari dalam dan melabelkan golongan tersebut sebagai "syaitan dalam jemaah". - Kedahnews.com