Zalif Sidek |
KISAH percintaan antara Zalif Sidek dan Fida Ibrahim sudah lama berakhir, namun kisahnya yang sering kali dikaitkan dengan gadis-gadis cantik tidak pernah padam.
Tenggelam cintanya bersama Fida, pemilik nama Md Zalif Naquiyudin Wan Abu Bakar Sidek, 29, ini dikaitkan pula dengan teman lamanya bernama Syafrina dan kemudian dengan tunangan orang bernama Syahirah.
Selepas angin lalu membawa pergi ceritanya bersama Syahirah, Zalif diberitakan pula telah melamar seorang gadis Terengganu bernama Nadhirah Nawi berusia 21 tahun.
Cerita itu timbul gara-gara beliau memuat naik gambarnya bersama ibu dan gadis tersebut di sebuah restoran.
Pendek kata, apa sahaja gambar yang melibatkan perempuan yang dimuat naik oleh Zalif menerusi Instagram, pasti menimbulkan kontroversi.
“Saya pun tak tahulah kenapa. Kalau saya memuat naik gambar perempuan atau dengan perempuan orang mesti akan kata itu teman wanita saya padahal kami tak ada apa-apa hubungan pun. Sampai saya takut nak upload gambar perempuan.
“Gambar itu diambil secara kebetulan waktu dia dan ibunya datang ke Kuala Lumpur atas urusan lain. Dia hubungi saya dan kami berjumpa lalu ambil gambar bersama. Itu sahaja.
"Kalau ada jodoh Insya-ALLAH tapi sekarang ni belum sampai tahap melamar. Saya selesa berkawan dengan dia. Terus-terang buat masa ini saya tiada teman istimewa. Cuma kawan biasa,” katanya ketika ditemui Zass, baru-baru ini.
Kerja belakang tabir
Dalam pada itu, Zalif yang pernah berada di bawah naungan Astro First dan Metrowealth Movies Production (MIG) ini sudah mula bergerak sendiri sejak awal tahun lalu.
Mengakui sibuk dengan kerja-kerja pengacara majlis dan koordinator program, Zalif kini sedang menanti tayangan filemnya yang ke 17 berjudul Kerana Tok Wan Terbang di bawah terbitan MIG.
“Lima tahun dalam industri saya dah banyak berlakon filem. Saya bertuah kerana MIG sudi memberikan saya peluang dan ruang untuk mencipta nama. Buat masa ini, memandangkan faktor ekonomi dan kutipan filem yang tak seberapa, saya mencuba bidang lain.
“Alhamdulillah rezeki saya buat kerja-kerja sebalik tabir ini. Itu yang saya rehat dari berlakon,” katanya.
Tidak mahu terikat dengan watak komedi semata-mata, Zalif mengakui mampu melakonkan apa sahaja watak sekiranya diberikan peluang.
“Ramai produser ingat saya pelawak. Tapi pada saya kalau skrip best dan sesuai saya akan ketengahkan watak itu. Watak serius pun boleh. Karakter sebenar saya macam ni,” katanya.
Dalam pada itu, pelakon kelahiran Terengganu ini berkata, meskipun selesa bergerak sendiri, dia akan mempertimbangkan untuk menerima tawaran menjadi artis bagi mana-mana syarikat jika ia berbaloi.
Sumber: Sinar Harian