Fadhil Ahmad al-Hayali atau lebih dikenali sebagai Haji Mutaz |
Washington - Pemimpin nombor dua kumpulan Negara Islam (IS) dilaporkan terbunuh dalam satu serangan udara tentera Amerika Syarikat (AS) di utara Iraq, kata Rumah Putih semalam.
Majlis Keselamatan Kebangsaan berkata, anggota militan yang terbunuh itu dikenal pasti sebagai Fadhil Ahmad al-Hayali atau lebih dikenali sebagai Haji Mutaz.
Fadhil adalah orang paling kanan ketua IS, Abu Bakr al-Baghdadi.
Ini bukanlah kali pertama pegawai AS mengumumkan kematian Fadhil.
Pada tahun lalu, seorang pegawai AS mendakwa Fadhil antara beberapa pemimpin kanan IS yang terbunuh dalam beberapa serangan udara.
Bagaimanapun, kali ini, tentera AS yakin Fadhil bersama seorang lagi pemimpin IS yang dikenali sebagai Abu Abdullah terbunuh dalam satu serangan di Mosul pada 18 Ogos lalu.
Kedua-dua pemimpin itu dilaporkan maut selepas kenderaan mereka diserang tentera udara AS. - AFP