#Haji1436H: Lebih 4,000 Tetamu Allah Tiba Di Madinah Al-Munawwarah

Masjid An-Nabawi di Madinah
MADINAH - Lebih 4,000 jemaah haji Malaysia kini berada di Madinah dan secara keseluruhannya, mereka dilaporkan dalam keadaan baik, kata Pengarah Operasi Madinah, Operasi Haji 1436H Mohd Zawawi Bostam.

Beliau berkata, 4,446 jemaah haji kini berada di Madinah dan ditempatkan di tiga hotel iaitu Hotel MovenPick, Hotel Al-Saha dan Al-Haram, sejak penerbangan pertama KT1 pada 16 Ogos lalu.

"Jumlah berkenaan tidak termasuk dua lagi kumpulan yang akan tiba hari ini menerusi penerbangan KT14 dari Alor Star (279 jemaah) yang dijangka tiba 4.15 petang (9.14 malam waktu Malaysia) dan KT15 dari Johor Bahru (279 jemaah) yang dijangka tiba 8.30 malam (1.30 pagi waktu Malaysia (21 Ogos)," katanya kepada pemberita di sini, semalam.

Mohd Zawawi berkata, penerbangan akhir yang membawa jemaah terus ke Madinah dijadualkan pada 30 Ogos dan dijangka tiba pada 1.15 pagi waktu tempatan.

Beliau berkata, semua jemaah haji juga dilaporkan dalam keadaan baik: "Alhamdullilah, semuanya dalam keadaan baik, cuma ada yang hadapi sedikit masalah kesihatan kecil seperti batuk dan kulit kering berikutan cuaca panas antara 34 dan 46 darjah Celcius. Mereka terbabit telah dirujuk kepada petugas perubatan".

Beliau berkata, jemaah haji yang berada di tanah suci juga telah mengikuti program-program yang disusun atur oleh pihak TH seperti menziarahi Masjid Nabawi, melakukan ziarah di tempat-tempat bersejarah di Madinah serta mengikuti program-program ceramah ibadat dan kaunseling.

Jemaah haji Malaysia dijadual ke Makkah secara berperingkat mulai 24 Ogos ini dengan menaiki bas dengan kumpulan terakhir dijadualkan pada 7 Sept.

"TH akan menggunakan bas bagi membawa jemaah haji ke Makkah menerusi jadual yang telah ditetapkan kerajaan Arab Saudi," katanya.

Beliau berkata, keseluruhan 11,088 bakal jemaah haji akan berada di Madinah menerusi 32 penerbangan. Sebanyak 32 lagi penerbangan dijadualkan terus ke Jeddah.

Kuota haji Malaysia tahun ini ialah sebanyak 22,320 orang yang akan dibawa menggunakan pesawat Malaysia Airlines dan Saudi Arabian Airlines. - Bernama