Haram Hukum Umat Islam Sertai Himpunan Hingga Cetus Huru-Hara - Mufti Kelantan

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad
KUALA LUMPUR – Haram bagi umat Islam terlibat dengan demonstrasi jalanan yang boleh mencetuskan huru-hara seperti mana perhimpunan haram Bersih 4.0 hujung minggu ini.

Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, Islam mengajar umatnya mentaati undang-undang dan pemerintah, bukannya melakukan provokasi dan mewujudkan suasana tidak aman kepada masyarakat sekeliling sebagai tanda protes.

“Oleh itu, pihak berkuasa wajib dan mempunyai hak menghalang sesuatu perkara yang hanya mencetuskan kekacauan seperti mana yang dijelaskan mengikut dasar hukum ‘saddu zariah’ iaitu mencegah sesuatu yang dijangka menimbulkan huru-hara.

“Pihak yang melaksanakan undang-undang perlu bertindak tegas dan ia bertepatan dengan syarak kerana tindakan itu bertujuan bagi mengelak berlakunya perkara buruk. Dalam Islam juga telah diingatkan supaya memberi keutamaan dalam mengelak perkara buruk berbanding hendak mencapai satu-satu maslahah,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia ketika diminta mengulas mengenai perhimpunan Bersih 4.0 pada Sabtu dan Ahad ini yang telah diisytiharkan haram oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012.

Selain itu, Kementerian Dalam Negeri turut tidak menolak kemungkinan wujudnya kumpulan anarki bagi mencetuskan huru-hara dalam perhimpunan haram itu.


Dalam pada itu, Mohamad Shukri berkata, sebarang rasa tidak puas hati atau bantahan terhadap kerajaan harus dilakukan menerusi saluran dialog dan perbincangan.

“Cara ini bukan sahaja menepati kehendak undang-undang malah mengikut ajaran Islam sendiri yang menekankan kepada unsur nasihat menasihati demi kepentingan umum,” jelasnya.

Beliau turut mengingatkan umat Islam supaya menjauhi budaya memfitnah yang dilihat semakin membimbangkan dan semakin menular dalam kalangan masyarakat.

“Jika kita menerima sesuatu berita, perlu diselidik dan menyiasatnya terlebih dahulu sehingga perkara itu jelas, bukannya sewenang-wenangnya menjatuhkan hukuman. Mana-mana hakim sekalipun hanya akan menjatuhkan hukuman kepada pesalah jika mempunyai bukti yang jelas,” katanya.

Sementara itu, Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria turut menyifatkan perhimpunan Bersih 4.0 yang diadakan pada Sabtu dan Ahad ini sebagai salah satu fitnah dan berdosa besar.

“Apakah maksud dan tujuan penganjur mengadakan perhimpunan Bersih yang hanya bertujuan membuat huru-hara. Umat Islam perlu menghindarkan diri daripada terjebak dengan budaya memfitnah sama ada terhadap masyarakat mahupun mana-mana pemimpin,” katanya.

Sumber: Utusan