Harga Minyak Sawit Rendah, Tapi FGV Masih Untung Lebih RM100 Juta?

Gambar Hiasan
Kuala Lumpur - FELDA Global Ventures Holdings Berhad (FGV) mencatatkan perolehan sebanyak RM4.2 bilion bagi tempoh suku kedua berakhir 30 Jun 2015 berbanding RM2.7 bilion yang direkodkan bagi suku pertama 2014 dan keuntungan bersih sebanyak RM103 juta.

Bagaimanapun, perbandingan prestasi perolehan kumpulan bagi tahun ke tahun menyusut sebanyak 7 peratus dari RM7.4 bilion bagi tempoh enam bulan pertama tahun kewangan 2014 kepada RM6.9 bilion bagi tempoh sama 2015 manakala keuntungan bersih menurun sebanyak 69 peratus dari RM423 juta kepada RM133 juta disumbangkan oleh keputusan kewangan kumpulan suku pertama yang lemah serta harga purata minyak sawit mentah (CPO) rendah.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan FGV Datuk Mohd Emir Mavani Abdullah berkata, penurunan dalam perolehan dan keuntungan bersih itu adalah dijangkakan berikutan kesan negatif akibat senario pasaran yang mencabar khususnya harga CPO yang kekal rendah dengan purata menurun sebanyak 14 peratus daripada RM2,619 metrik setan kepada RM2,263 metrik setan tahun ini.

Beliau berkata, kumpulan harus kekal berdaya tahan untuk tempoh dua suku akan datang dan menangani ketidaktentuan harga CPO menerusi peningkatan perolehan, pengurusan cemerlang kos dan operasi.

“Ini adalah masa yang cukup mencabar bagi industri, tetapi kumpulan kekal fokus dalam melaksanakan pelan transformasi khususnya dalam langkah mengurangkan perbelanjaan modal dan memaksimumkan kos manakala pada masa sama memberi fokus kepada inisiatif untuk meningkatkan kecekapan operasi,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Katanya, industri minyak sawit kekal mencabar dan kemelesetan ekonomi China turut memberi kesan ke atas pasaran minyak dan komoditi dunia.

“Pasaran minyak sawit mentah Malaysia mengalami eksport yang lebih lemah disebabkan kemerosotan permintaan daripada negara seperti China, India dan Kesatuan Eropah,” katanya.

Menurutnya, walaupun terdapat sedikit kenaikan dalam permintaan berikutan musim perayaan, permintaan kekal lemah dan turun naik minat dan kadar pertukaran asing menyebabkan keadaan operasi yang lebih sukar untuk kumpulan itu.

Bagaimanapun, Mohd Emir menekankan bahawa usaha berterusan transformasi kumpulan menyaksikan beberapa keputusan positif antaranya dalam bidang Amalan Pengurusan Baik Perladangan (BMP), Kluster Perdagangan, Pemasaran dan Logistik (TML) Kluster serta Kecemerlangan Perolehan. 

Sumber: myMetro