Harga Sebenar RM17,270, Tapi Umat Islam Malaysia Hanya Bayar RM9,980


SHAH ALAM – Lembaga Tabung Haji (TH) masih mengekalkan kos mengerjakan haji kepada para jemaah pada kadar RM9,980 tahun ini walaupun kos sebenar telah meningkat kepada RM17,270.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Tan Sri Ismee Ismail berkata peningkatan kos haji pada musim kali ini juga bererti Tabung Haji perlu meningkatkan tanggungan kos untuk setiap jemaah kepada RM7,290 bagi mencukupkan kos itu.

Pada musim haji yang lepas, Tabung Haji membayar tambahan RM6,175 untuk setiap seorang jemaah berbanding kos haji sebenar sebanyak RM16,155.

“Peningkatan kos haji pada tahun ini paling ketara disebabkan peningkatan kos penginapan para jemaah. Seperti kita sedia maklum kadar bayaran bagi hotel yang terletak berhampiran dengan Masjidil Haram adalah mahal.

“Bagaimanapun, TH akan sedaya-upaya menempatkan jemaah haji Malaysia di kawasan penginapan yang jaraknya kurang dari satu kilometer,” katanya ketika ditemui pemberita di majlis perasmian Kursus Perdana Haji peringkat Selangor di Masjid Negeri di sini Ahad.

Acara itu disempurnakan Tengku Panglima Diraja Selangor Tengku Sulaiman Shah.

Kira-kira 3,500 bakal haji dari Selangor menyertai kursus itu yang berlangsung sejak semalam.

Mengulas mengenai kuota haji pada tahun ini, Ismee berkata ia kekal pada jumlah 22,230 jemaah seperti tahun lepas dan kuota itu dijangka kembali kepada jumlah asal 27,900 pada tahun hadapan apabila kerja-kerja pembangunan di tanah suci itu siap sepenuhnya.

Sejak 2009, kerajaan Arab Saudi telah memperuntukkan 27,900 tempat setahun bagi jemaah Malaysia menunaikan ibadah haji namun ia kouta haji di semua negara di seluruh dunia dikurangkan sebanyak 20 peratus sejak 2013 berikutan kerja-kerja pembangunan di Masjidil Haram.

Bagi musim haji kali ini, Ismee berkata kumpulan pertama jemaah haji Malaysia akan diterbangkan ke Arab Saudi mulai 16 Ogos ini dan penerbangan terakhir adalah pada 16 Sept.

Penerbangan pulang jemaah haji ke Malaysia pula ialah mulai 29 Sept sehingga 27 Okt. – BERNAMA