Gambar Hiasan - Pesta Songkran di Thailand |
Kuala Lumpur - Rakyat Malaysia yang merancang bercuti ataupun datang atas urusan kerja ke Thailand dinasihatkan supaya sentiasa berhati-hati dan mengelakkan diri daripada kawasan sesak.
Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Nazirah Hussain berkata, pihak berkuasa Thailand sudah menyenaraikan 10 kawasan tumpuan yang dilabelkan dalam keadaan berjaga-jaga.
Menurutnya, antara kawasan itu adalah Persimpangan Ratchaprasong, Persimpangan Pathumwan, Jalan Silom, Jalan Khaosan, Persimpangan Narathiwas, Monumen Victory, Persimpangan Bangunan At Chai, Taman Benjasiri, Soi Thonglor dan Jalan Sukhumvit.
"Rakyat negara kita yang datang ke Bangkok dinasihatkan supaya mengelakkan daripada berada di kawasan yang berada dibawah pengawasan tentera Thailand,"katanya ketika dihubungi, sebentar tadi.
Sementara itu, Nazirah memberitahu, pihak berkuasa Thailand sudah mengeluarkan pengesahan secara bertulis keputusan ujian DNA terhadap mangsa kelima yang dikenalpasti sebagai Lim Su See, 52 tahun.
Katanya, pihak kedutaan kini sedang menguruskan prosedur yang berkaitan bagi pengurusan penghantaran balik jasad dengan pihak berkuasa tempatan dengan kadar segera.
"Urusan penerbangan juga sedang di dalam proses dan akan dimaklumkan sebaik mendapatkan pengesahan dari pihak terbabit," katanya.
Sumber: myMetro