Heliza Helmi Ajak Stacy Sertai Kelas Bimbingan Bersama Selebriti, Usrah Fitrah


BANGSAR – Penyanyi dan pengacara Heliza Helmi menyatakan perasaan terujanya dengan perkhabaran rakan artis Stacy yang sudah memeluk Islam, Isnin lalu.

Menurut Heliza yang merupakan senior Stacy menerusi program realiti Akademi Fantasia, dia berharap Stacy akan kekal istiqamah dengan penghijrahannya.

Malah, Heliza turut menjemput Stacy atau nama Islamnya, Ummu Syaikhah Stacy Binti Anam untuk bersama-sama menyertai kelas bimbingan agama Islam, Usrah Fitrah yang dianggotai bersama rakan-rakan selebriti lain.

“Sekarang ni adalah bagaimana kita nak membawa saudara baru ini untuk mendalami Islam. Saya nak ajak mereka (Stacy dan Akim) ke Usrah Fitrah, kita kena bagi sokongan kepada orang yang nak mendalami Islam.

“Kita tak tahu (di kemudian hari) mungkin Stacy lebih baik daripada kita yang memang lahir-lahir Islam, mungkin dia baca Al-Quran lebih baik daripada kita, sebagai seorang Islam kita kena sentiasa mendoakan.

“Mudah-mudahan saya dan kawan-kawan lain dapat menarik bukan sahaja Stacy malah ramai lagi, InsyaAllah untuk mengenali dan jatuh cinta dengan Islam,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Restoran Amber Chinese Muslim di Nexus, Bangsar South, hari ini.

Selain itu, Heliza turut mengingatkan peminat agar tidak sesekali menghentam Stacy di atas penghijrahannya itu sebaliknya terus memberikan sokongan.

Heliza mencuba menu yang terdapat di Restoran Amber Chinese Muslim, Nexus, Bangsar South.
Ini kerana jika diperhatikan, peminat banyak memberikan komen seolah-olah Stacy perlu terus bertudung litup dan berhijab walaupun mengikut hukum, agama Islam sememangnya menuntut setiap Muslimatnya untuk menutup aurat.

“Bila Stacy muat naik gambar ke (selepas ini), mungkin banyak lagi dia tak tahu, kita jangan menghentam, kita jangan marah.

“Kita bagi sokongan dan nak bagi teguran ke, mungkin boleh pm (private message) ke, kita tunjuk akhlak yang baik, sebab Nabi pun diutuskan ke dunia untuk betulkan akhlak kita, jadi kita tunjukkan akhlak Islam ini indah dengan cara berhikmah,” ujar selebriti berusia 29 tahun ini.

Ketika diminta mengulas mengenai tindakan tidak bertanggungjawab individu yang merakam video Stacy sedang mengucap dua kalimah syahadah, Heliza berkata seseorang itu perlulah berpegang kepada amanah pekerjaan dan jangan sesekali melanggar etika tersebut.

Walau bagaimanapun, Heliza berkata dia memuji tindakan Stacy yang memaafkan individu yang merakam dan menyebarkan video terbabit yang jelas sama sekali melanggar batas privasi yang dipohon oleh selebriti tersebut.

“Baguslah dia (Stacy) dah maafkan. Mudah-mudahan banyak lagi kebaikan yang datang kepada Stacy. InsyaAllah.

“Kita jadi orang pemaaf, kebaikan akan datang kepada dia. Bila kita maafkan orang, hati kita tenang, kerja kita nak buat pun berjalan dengan lebih tenang.

“Pengajaran kepada orang lain, bila kita pegang amanah, kita haruslah berpegang kepada amanah yang diberikan, yang dah buat silap (penyebar), harap-harap dia berubah,” katanya lagi.

Dalam perkembangan lain, Heliza kini sedang sibuk menyiapkan proses rakaman album Jom Zikir yang turut melibatkan penyanyi Salima Habibi dan Ustazah Norhafizah Musa.

Album berkenaan dijangka bakal dilancarkan selewat-lewatnya pada awal tahun hadapan. 

Sumber: Mynewshub.cc