Hemico Office Cafe |
ALOR SETAR - Memulakan perniagaan memerlukan kos permulaan yang agak tinggi dan ada kalanya membebankan usahawan yang baharu berjinak-jinak dalam perniagaan.
Kemunculan Hemico Office Cafe bagaikan memberi pilihan terbaik untuk memulakan perniagaan tanpa mengeluarkan modal besar.
Konsep baharu yang diperkenalkan ini menggabungkan ruang niaga dengan sebuah kafe bawah satu bumbung.
Pengurus Besar Kumpulan HR, Amri Hashim berkata, idea memperkenalkan konsep ini tercetus daripada maklum balas individu yang mahu memulakan perniagaan namun berdepan kekangan kewangan berikutan kos permulaan tinggi.
“Saya percaya konsep ini menjadi alternatif terbaik sebelum mereka bertapak dalam dunia perniagaan yang penuh cabaran. Saya ingin membantu usahawan baharu mengembangkan perniagaan mereka dengan cara mudah,” katanya, ketika ditemui, pada Majlis Jamuan Hari Raya & Pra Perasmian Hemico Office Cafe, yang beroperasi di Bandar Baru Mergong.
Hadir sama, Pengarah Eksekutif, Suzana Shafie; Pengurus Besar, Ridzwan Ahmad dan Datin Atikah Abd Ghani.
Amri yang juga Pengerusi Eksekutif Hemico berkata, ruang utama premis menempatkan sebuah kafe dan 30 peratus ruang diperuntukkan untuk mempamerkan produk perniagaan.
“Kafe ini menawarkan konsep masak tanpa dapur. Kita mahu wujudkan suasana baharu dengan menjadikan kafe ini sebagai pemangkin kepada rangkaian perniagaan dan mengembangkan perniagaan, pusat perjumpaan ejen selain anjur pelbagai aktiviti,” katanya.
Menurutnya, konsep yang diperkenalkan merupakan sistem yang ekonomik, di mana konsepnya hampir menyamai trend terkini, seperti vendor butik kafe dan perniagaan online, Lazada.
“Ini antara usaha kami untuk bantu syarikat kecil yang tidak mampu miliki pejabat untuk terlibat dalam perniagaan. Kita mempunyai pelan perniagaan tersendiri yang tidak membebankan, kerana antara masalah dihadapi usahawan adalah pemasaran dan mencari rangkaian baharu, namun di sini, semuanya sudah tersedia,” katanya.
Amri berkata, mereka yang berhasrat menceburi perniagaan atau usahawan IKS mahupun individu yang berminat berniaga, bolehlah menjadikan Hemico Office Cafe sebagai platform mudah dan efektif untuk memulakan perniagaan tanpa perlu membuka syarikat.
“Beberapa syarikat sudah menyertai kami, antaranya, syarikat umrah, busana Muslimah, mesin jahit, selain produk bawah anak syarikat Hemico. Kami tidak mengehadkan jenis produk dan menyasarkan 500 produk akan dipasarkan melalui sistem online mahupun offline, menjelang akhir tahun ini,” katanya.
Menurutnya, sebagai permulaan memperkenalkan premis Hemico Office Cafe, pihaknya mempelawa syarikat yang berminat untuk bernaung bawah Hemico berikutan Kumpulan HR sudah memiliki rangkaian besar mencecah 400,000 ahli.
“Sasaran kita adalah untuk membuka 50 outlet di seluruh Malaysia, bermula di Mergong, Bangi, Shah Alam dan seterusnya membuka cawangan di Kelantan,” katanya.
Hemico merupakan anak syarikat Kumpulan HR yang memfokuskan kepada produk kecantikan dan kesihatan. Jenama produk yang ditawarkan, ialah Korean Secret, House of Spa, Performance, threeleaf Stevia, addin, Hemico Ageless serta HiGoat.
Sumber: Sinar Harian