Himpunan Bersih 4.0 Bukti Tiada Patriotisme Pihak Penganjur, Dakwa Pensyarah


KUALA LUMPUR – Tindakan penganjur Bersih 4.0 berkeras mahu mengadakan perhimpunan di ibu kota ketika negara sibuk dengan persiapan sambutan Hari Kebangsaan 2015, jelas menggambarkan sikap tidak sensitif serta tiadanya semangat patriotisme, kata seorang penganalisis politik.

Pensyarah kanan Kajian Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara Malaysia, Md. Shukri Shuib berkata, tindakan berdemonstrasi itu boleh disifatkan sebagai ‘anti-hari negara’, selain mensabotaj imej Dataran Merdeka sebagai simbol lokasi penting dan bersejarah.

“Dataran Merdeka adalah lokasi utama peristiwa penting dalam sejarah negara dan semestinya hal ini dihormati semua pihak. Sebarang aktiviti yang boleh merosak imej dan nama baik lokasi ini harus dihindarkan.

“Janganlah asyik mempopularkan negara dengan aktiviti demonstrasi dan mengadakan perhimpunan jalanan sedangkan banyak lagi sumbangan yang boleh dilakukan berbanding tenaga dan wang yang dikeluarkan semata-mata untuk berdemonstrasi menunjuk perasaan lebih-lebih lagi menjelang sambutan hari kemerdekaan,” katanya kepada Bernama.

Jawatankuasa Pemandu Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) berhasrat menganjurkan Himpunan Bersih 4.0 di ibu negara pada 29 dan 30 Ogos, dan serentak di Kuching, Sarawak serta Kota Kinabalu, Sabah.

Polis sebelum ini meminta penganjur perhimpunan itu mengubah lokasi perhimpunan yang dirancang di ibu kota termasuk di Dataran Merdeka dan Padang Merbok berikutan lokasi berkenaan dianggap tidak sesuai.

Bagaimanapun, Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah dalam kenyataan di laman Facebook Bersih 2.0 menegaskan perhimpunan tetap dijalankan seperti dirancang dan akan berkumpul di sekitar atau kawasan paling hampir dengan Dataran Merdeka serta tidak akan mengganggu persiapan acara memperingati Hari Kemerdekaan 31 Ogos.

Md Shukri berkata perhimpunan jalanan bukan sahaja tidak bersifat demokratik malahan mencabuli hak awam dan hak negara, sementelah ia mengganggu ketenangan dan suasana harmoni rakyat yang bersemangat memperingati hari bersejarah negara.

“Lebih baik himpunan jalanan sedemikian digantikan dengan aktiviti seperti gotong-royong di bandar raya dan membantu peniaga melariskan perniagaan dengan persembahan kebudayaan atau mempromosi tempat menarik di Kuala Lumpur kepada pelancong.

“Sepatutnya himpunan jalanan atau sebarang demonstrasi yang hendak diadakan melihat kepada keperluan semasa penduduk kerana rakyat sudah bosan dengan polemik politik yang sering dimainkan oleh sesetengah pihak demi kepentingan peribadi,” katanya.

Pada Rabu, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Tajuddin Md. Isa berkata penganjur Bersih 4.0 masih belum memenuhi ketetapan Akta Perhimpunan Aman 2012 bagi menganjurkan perhimpunan itu.

Meskipun polis menerima notis pemberitahuan daripada pihak penganjur pada Selasa lepas, beliau berkata dokumen berkenaan tidak lengkap kerana tidak menyertakan kebenaran pemilik lokasi berhimpun. – BERNAMA