Himpunan Haram: Tinjauan Bernama Tidak Lebih 100 Orang Sahaja

Akibat daripada himpunan haram #Tangkap Najib yang dilakukan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab menyebabkan kebanyakkan kedai terpaksa ditutup sementara sebagai langkah keselamatan di hadapan pusat membeli belah Sogo, hari ini. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR – Perhimpunan haram yang dianjurkan beberapa kumpulan di hadapan sebuah kompleks beli-belah di ibu negara hari ini bagi mendesak Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berundur, gagal mendapat sambutan.

Tinjauan Bernama mendapati hanya kurang 100 orang peserta berbaju hitam yang mula berkumpul di hadapan kompleks beli-belah itu di Jalan Tuanku Abdul Rahman kira-kira 1.30 tengah hari.

Polis berjaya mengawal keadaan dan perhimpunan disuraikan pada 2.45 petang dengan kira-kira 20 orang ditahan, dipercayai disebabkan tidak mengendahkan amaran agar bersurai.

Walaupun peserta perhimpunan telah bersurai, anggota polis terus ditempatkan di kawasan berkenaan bagi mengawal keadaan.

Kompleks beli-belah dan beberapa kedai sekitar yang ditutup seketika sebelum itu, kembali dibuka pada pukul 3.30 petang. – BERNAMA