Hukum Beri Zakat Pada Adik Beradik Sendiri Yang Memerlukan


Bolehkah zakat harta dihulurkan kepada adik-beradik dan rakan yang memerlukan? Kalau boleh, apakah kita perlu pergi ke pusat zakat atau boleh diagih-agihkan sendiri? 

* Halizah, Selangor. 

UKE: Halizah, sebaik-baiknya zakat hendaklah diuruskan kepada pejabat zakat kerana mereka mempunyai kekuatan, maklumat dan kaedah pembahagian yang tersusun serta senarai asnaf yang lengkap. 

Dari segi siasah dan maslahah, zakat merupakan pemangkin kepada ekonomi umat Islam.

 Peraturan dan undang-undang yang ditetapkan oleh pemerintah atau ulil amri adalah demi menjaga hak dan kepentingan zakat tersebut. 

Walaupun dari segi syarak, mengagihkan zakat secara persendirian tanpa melalui pemerintah adalah sah sekiranya diagihkan kepada asnaf yang layak, tetapi perbuatan melanggar peraturan dan undang-undang pemerintah dalam perkara kebaikan adalah berdosa, kerana dalam Islam patuh dan taat kepada ulil amri dalam perkara kebaikan adalah wajib. 

Anda tidak boleh membayar zakat kepada orang yang menjadi tanggungan anda kerana mereka ini wajib mendapat nafkah daripada anda. 

Jika mereka bukan tanggungan anda dan memang dikategorikan sebagai asnaf penerima zakat, maka bolehlah dibayar zakat kepada mereka. 

Itupun tidak boleh dibahagi terus semua zakat kepada mereka melainkan wajib dibahagi-bahagikan mengikut kadar yang ditetapkan oleh syarak. 

Sumber: Utusan