Ibu Pesan Jangan Benarkan Dua Kakak Sentuh Jasad Jika Meninggal Dunia

Gambar Hiasan
Saya berasal daripada keluarga bukan Islam. Arwah emak, abang sulung, kakak yang kedua (arwah) dan saya, Alhamdulillah sudah menjadi Muslim yang taat. Hanya dua orang lagi kakak saya iaitu yang ketiga dan keempat masih bukan Islam.  
Ketika hidupnya, arwah ibu saya ada berpesan pada saya yang dia tidak mahu kakak-kakak saya yang bukan Islam menyentuh mayatnya apabila dia meninggal dunia nanti. 
Ketika abang sulung saya menghubungi saya memberitahu tentang kematian emak kami, saya pun menyampaikan amanah arwah emak kami itu. Malangnya kakak saya yang ketiga tidak boleh menerimanya. Saya dituduh berlagak alim dan Islam munafik.  
Saya pernah cuba telefon kakak saya yang ketiga itu namun tidak berjawab. Sekarang sepuluh tahun sudah berlalu, saya tidak pernah lagi berhubungan dengan kakak saya itu. Jadi saya sentiasa berfikir dan risau adakah akan diterima amalan saya ustaz? Mohon pencerahan. 
- Puan Yati, Kuala Lumpur.

UKE: Puan Yati, bukan semua pesan si mati perlu dilaksanakan oleh waris atau orang yang dipesan untuk melaksanakannya. Dalam masalah anda ini, pesanan arwah emak anda ini termasuk dalam kategori yang tak perlu dilaksanakan kerana boleh mendatangkan implikasi yang lain.

Nah, sekarang anda nampak sendiri apa yang telah berlaku. Tidaklah menjadi kesalahan kalau yang bukan Islam memegang jenazah orang Islam. Malah, apabila kita melayan mereka dengan baik, mudah-mudahan terbuka pintu hati mereka terhadap Islam.

Apa pun perkara telah berlaku dan apa yang anda harus lakukan ialah mencari jalan supaya anda kembali bertaut kasih sayang dengan kakak anda. 

Jika anda telah berusaha untuk berbaik tetapi ditolak, maka janganlah terus membuang diri, sebaliknya berbuat baik seperti berkirim salam, memberi hadiah, menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) atau apa sahaja yang boleh menyambung silaturahim.

Tetapi jika dia tetap berdegil, maka urusan anda telah selesai. Hanya kakak anda yang masih bermasalah.

Insya-Allah, amalan anda diterima dan pastikan dalam masa yang sama, anda berusaha kembali rapat seperti dahulu. Buat kakak anda, saya nasihatkan sudah-sudahlah, buanglah yang keruh, ambil yang jernih.

Memutuskan silaturahim hukumnya haram dan dikira melakukan maksiat besar sehingga mendapat laknat daripada Allah SWT. Sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: 
“(Kalau kamu tidak memenuhi perintah) maka tidakkah kamu harus bimbang dan dikhuatirkan jika kamu dapat memegang kuasa, kamu akan melakukan kerosakan di muka bumi, dan memutuskan hubungan silaturahim dengan kaum kerabat? (Orang-orang yang melakukan perkara-perkara yang tersebut) merekalah yang dilaknat oleh Allah serta ditulikan pendengaran mereka, dan dibutakan penglihatannya.” (Surah Muhammad: 22-23).
Apatah lagi orang yang memutuskan silaturahim ini tidak masuk syurga, sebagaimana sabda Nabi SAW yang bermaksud: 
“Tidak masuk syurga orang yang memutuskan hubungan kekeluargaan.” (HR. Muslim).

Sumber: Utusan