ALOR SETAR - Sepuluh wanita warga Thailand yang bekerja di pusat urut ditahan Jabatan Imigresen Kedah di tiga lokasi berbeza di Sungai Petani malam semalam.
Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata kesemua wanita berumur antara 21 dan 56 tahun itu ditahan di pusat urut Taman Angsana, Taman Mutiara Indah dan Taman Sejati Indah.
Katanya kesemua warga asing itu ditahan kerana melanggar syarat pas lawatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Peraturan Imigresen 1963.
Kesemua warga asing yang ditahan juga dipercayai melakukan aktiviti tidak bermoral dengan berselindung di sebalik pusat urut kaki dan urutan tradisional, katanya.
"Seorang lelaki tempatan berusia 39 tahun turut ditahan kerana melindungi warga asing itu dan akan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen 1959/63," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Mohamad Yusri berkata warga asing itu ditahan di lokap Imigresen di Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik di Sik. -Bernama