Imigresen Kedah Kantoikan Lelaki Cuba Seludup Masuk Warga Asing


ALOR SETAR - Cubaan lelaki tempatan untuk membawa masuk seorang lelaki warga asing ke Thailand gagal apabila kedua-dua mereka ditahan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, kelmarin.

Dalam pemeriksaan kira-kira jam 4.45 petang itu, sebuah kereta Toyota Vios dinaiki dua lelaki berkenaan memasuki lorong kenderaan dalam perjalanan menghala ke Thailand.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohd Yusri Hashim berkata, lelaki tempatan berasal dari Bukit Mertajam, Pulau Pinang berkenaan menyerahkan pasport antarabangsa miliknya.

“Manakala, seorang lelaki yang duduk dalam kenderaan sama tidak menyerahkan sebarang dokumen perjalanan sebaliknya menyerahkan kad pengenalan didakwa miliknya.

“Ketika disoal, mereka berdua memberi alasan hendak mengunjungi Kompleks Bebas Cukai di Kompleks ICQS, malah bukannya ingin ke Thailand,” katanya.

Bagaimanapun katanya, pegawai imigresen mengarahkan kedua-dua lelaki berkenaan menjalani pemeriksaan lanjut ekoran curiga dengan kenyataan diberikan mereka.

Lelaki warga Myanmar yang ditahan. - Foto: Jabatan Imigresen Kedah
"Melalui pemeriksaan, lelaki tempatan berusia 25 tahun itu memiliki kad pengenalan diri dan pasport antarabangsa Malaysia miliknya.

"Namun rakannya tidak mempunyai dokumen perjalanan, malah kad pengenalan yang didakwa milikinya itu tidak memiliki identiti gambar yang menyerupainya," katanya.

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan berusia 32 tahun dan merupakan pendatang asing tanpa izin (Pati) warga Myanmar.

"Lelaki tempatan itu ditahan kerana disyaki cuba membawa masuk warga asing berkenaan ke Thailand secara haram.

"Dia turut ditahan kerana membenarkan warga asing masuk ke dalam kenderaan dipandunya manakala warga Myanmar akan disiasat atas kesalahan tidak memiliki dokumen perjalanan sah," katanya.

Kedua-dua mereka ditahan untuk siasatan lanjut Jabatan Imigresen Kedah, manakala kenderaan digunakan untuk ke Thailand disita sebagai bahan bukti.

Sumber: Sinar Harian