Imigresen Kedah Tahan 27 Warga Thai Di 7 Lokasi Berbeza


ALOR SETAR - Jabatan Imigresen Kedah menahan 27 pekerja asing warga Thailand dalam satu operasi di tujuh lokasi berbeza di sekitar bandar ini dan Kuala Kedah malam tadi.

Pengarahnya Mohamad Yusri Hashim berkata, seramai 19 lelaki dan lapan wanita berumur 16 hingga 51 tahun ditahan di tujuh restoran makanan Thailand kira-kira 11.15 malam tadi.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati tujuh lelaki Thailand tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan sah dan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Beliau berkata, 12 lelaki dan lapan wanita Thailand pula didapati bersalah kerana melanggar syarat-syarat pas lawatan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Kita turut menahan seorang wanita tempatan berumur 25 tahun turut ditahan kerana melindungi warga asing terbabit dan disiasat mengikut Seksyen 56(1)(d) peraturan sama," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohamad Yusri berkata warga asing yang ditahan di lokap Imigresen Bangunan Kementerian Dalam Negeri (KDN) di sini sebelum diserahkan ke Depoh Tahanan Imigresen di Belantik, Sik. -Bernama