Imigresen Kedah Terus Gempur Dalang Lindungi PATI


ALOR SETAR - Seorang lelaki Bangladesh antara 12 warga asing ditahan kerana disyaki melindungi pendatang asing tanpa izin (Pati), dalam Ops Sapu di beberapa lokasi berasingan, semalam.

Jabatan Imigresen Kedah diketuai Penolong Pengarah Imigresen, Nar Azaman Ibrahim bersama 27 pegawai imigresen melakukan serbuan di beberapa kediaman Pati.

Pengarah Imigresen Kedah, Mohamad Yusri Hashim berkata, lapan Pati ditahan adalah warga Indonesia, manakala selebihnya dari Bangladesh.

“Mereka berusia antara 20 hingga 44 tahun. Tiga warga Indonesia dan empat warga Bangladesh ditahan dalam serbuan di empat kediaman di Kampung Naga, Kepala Batas.

“Manakala, lima lagi warga Indonesia termasuk seorang wanita ditahan dalam serbuan di kediaman di Taman Setia Jaya, di sini kira-kira 3.20 pagi, semalam,” katanya.

Yusri berkata, seorang lelaki Bangladesh ditahan dalam serbuan berkenaan kerana disyaki melindungi Pati.

Katanya, tiga warga Indonesia dan tiga warga Bangladesh disiasat kerana tiada dokumen perjalanan sah, manakala empat warga Indonesia kerana melanggar syarat pas lawatan.

Manakala, katanya, seorang wanita Indonesia ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan tinggal lebih masa selepas tamat tempoh pas.

Mereka ditahan di lokap Imigresen di sini,  sebelum diserah ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik.

Sumber: Sinar Harian