Nicole Barr |
ALBERT Einstein dan Stephen Hawking dikenali di seluruh dunia sebagai manusia genius namun siapa sangka, kedua ilmuan tersebut kini kalah di tangan seorang budak perempuan.
Nicole Barr, 12, dari Harlow, Essex, England mencatat nilai IQ 162 dalam satu ujian yang dijalankan Mensa International.
Keputusan itu merupakan dua kali ganda lebih tinggi berbanding nilai IQ Einstein dan Hawking.
Mensa adalah organisasi tertua dan terbesar di dunia yang dianggotai kira-kira 110,000 manusia yang memiliki IQ paling tinggi di seluruh dunia.
8 peratus daripada anggota Mensa berusia di bawah 16 tahun dan 35 peratus daripada jumlah itu adalah perempuan.
Keputusan ujian terbaharu ini memasukkan Nicole ke dalam senarai manusia paling cerdas di dunia yang hanya berjumlah 1 peratus daripada seluruh populasi di bumi.
Ibu Nicole, Dolly Buckland, 34, berkata anaknya itu seorang yang rajin belajar dan tidak pernah ponteng sekolah.
“Sejak kecil dia sering mengesan kesalahan dalam buku atau majalah. Dia juga seorang yang ceria dan selalu meminta kerja sekolah tambahan,” kata Dolly.
Nicole merupakan penuntut di Burnt Mill Academy di Harlow dan mempunyai hobi membaca, menyanyi dan berdrama. Dia bercita-cita untuk menjadi doktor satu hari kelak. -Agensi