Gambar Hiasan |
Apa salahnya jika terus sahaja disebut ‘jangan berzina atau jangan makan harta anak yatim’. Sebaliknya untuk dua dosa besar ini Allah mengubah struktur ayatnya menjadi ‘jangan dekati zina’ dan ‘jangan dekati harta anak yatim’.
Allah berfirman:
“Dan janganlah kamu dekati zina, sesungguhnya zina itu adalah satu perbuatan yang keji dan satu jalan yang jahat (yang membawa kerosakan)” - (al-Isra’ [17:32]).
Firman-Nya lagi:
“Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya), sehingga dia baligh (dewasa, serta layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah perjanjian (dengan Allah dan dengan manusia), sesungguhnya perjanjian itu akan ditanya.” - (al-Isra’ [17:34]).
Dalam ayat lain Allah mengulang sebut larangan sama, juga dalam lafaz ‘jangan dekati’:
“Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan Allah dengan sesuatu pun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana kepapaan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; ‘dan janganlah kamu dekati kejahatan (zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.”
“Dan janganlah kamu dekati harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya) sehingga dia baligh (dewasa dan layak mengurus hartanya dengan sendiri); dan sempurnakanlah segala sukatan dan timbangan dengan adil. Kami tidak memberatkan seseorang dengan kewajipan melainkan sekadar kesanggupannya dan apabila kamu mengatakan sesuatu (semasa membuat apa-apa keterangan) maka hendaklah kamu berlaku adil, sekalipun orang itu ada hubungan kerabat (dengan kamu); dan perjanjian (perintah-perintah) Allah hendaklah kamu sempurnakan. Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu beringat (mematuhi-Nya).” - (al-An’am [6:151-152]).
Pasti ada rahsianya yang boleh dirungkai kerana setiap patah kalam Allah ini berisi hikmah dan bukti keagungan Allah. Dalam bicara bahasa Arab, tegahan mendekati membawa maksud “larangan berganda daripada melakukan sesuatu perkara (Tafsir al-Alusi).” Sekiranya ada yang faham, “Allah hanya larang dekati zina sahaja tetapi berzina tak mengapa,” bermakna orang berfahaman sebegini perlu segera dirujuk kepada doktor sakit mental!
Maha suci Allah yang Maha Mengetahui kelemahan makhluk ciptaan-Nya. Larangan jangan dekati untuk dua dosa ini disebut kerana Allah memang mengetahui godaan zina dan harta anak yatim yang tiada audit rasmi, sangat sukar ditangkis oleh manusia. Kedua-dua dosa besar ini sangat kuat tarikannya.
Jika dikatakan zina dan memakan harta anak yatim itu kesannya berjarak, dalam jarak 10 meter daripadanya sahaja ‘daya tarikan atau medan magnetik godaannya’ sudah cukup kuat. Sesiapa yang masuk ke dalam lingkungan medan magnetik godaannya sukar bolos dan mudah tewas. Oleh itu, ‘cara terbaik untuk selamat adalah dengan menjauhinya seawal mungkin’. Umat terdahulu sudah lama tewas dengan tarikan magnetik dua dosa ini.
Rasulullah SAW bersabda:
“Sesungguhnya dunia ini manis dan hijau (kuat tarikannya). Allah pula menjadikan kamu sebagai pentadbir padanya, lalu Dia akan melihat bagaimanakah tingkah laku kamu semua. Oleh itu, berhati-hatilah dengan (godaan) dunia dan wanita, kerana sesungguhnya ujian pertama (merosakkan) Bani Isra’il adalah pada (godaan wanita).” - Riwayat Muslim.
Janganlah berlagak alim, kononnya memiliki keperkasaan iman yang mampu melawan sapa mesra wanita asing atau pujian manis mulut lelaki berhidung belang. Juga jangan perasan kuat mampu menolak godaan harta tanpa audit seperti harta anak yatim yang tidak mampu membela diri. Kerana di belakangnya tersembunyi jerat Iblis yang sangat bahaya. Langkah paling selamat adalah jauhi dan halang segala pintu yang membawa ke arahnya.
Inilah yang disebut Islam sebagai pencegahan lebih baik daripada merawat. Percayalah! Allah lebih tahu yang terbaik untuk kita kerana Dia Pencipta kita. Jika dikata jangan dekati, maka jauhilah semampu mungkin kerana jauh itu bakal menjadi rahmat manakala dekat membawa laknat.
Sumber: Utusan