#Islam: Mati Itu Pasti, Tapi Bukan Untuk Dijadikan Bahan Gurauan...

MATI itu adalah pasti. Ia untuk menguji dan menilai siapakah yang lebih baik amalannya di antara kamu - (rujuk surah al-Mulk: 2). Masalahnya, ada kecen­derungan segelintir masyarakat yang suka menyebar berita kematian orang lain walhal individu tersebut masih hidup.

Dengan kecanggihan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta kecanggihan gajet-gajet masa kini, penyebaran itu amat mudah. Hanya dengan hujung jari, sepantas kilat berita itu tersebar di seluruh pelosok negara.

Kes terbaharu pada 13 Ogos lalu, pelantun lagu Sonata Musim Salju, Hazami yang mengalami pendarahan usus dikatakan telah ‘mati’. Berita kematiannya tersebar luas di media sosial. Hazami dikatakan terkejut dengan berita tersebut dan berasa sedikit terganggu dengan tuduhan tidak berasas itu.

Mangsa penyebaran berita mati itu bukan hanya artis. Golongan ustaz pun terkena juga. Seorang daripadanya ialah Datuk Hassan Mahmud al-hafiz. Pada 24 Jun 2015, Hassan dikatakan telah meninggal dunia menerusi media sosial menyebabkan masyarakat Islam gempar seketika. Mujurlah, beliau segera membuat catatan dalam akaun Facebook menafikan berita palsu itu.

Pada Oktober 2014, tersebar berita di laman sosial Facebook kononnya Imam Besar Masjidil Haram, Dr. Sheikh Abdul Rahman As Sudais yang terkenal dalam kalangan umat Islam di seluruh dunia, meninggal dunia. 

Cerita pemergian tokoh ulama itu dikongsi beberapa pemilik akaun Facebook yang bertanyakan benarkah Sheikh Abdul Rahman meninggal dunia sebagaimana yang disebarkan. Gambar beliau dikongsi ramai pemilik Facebook dengan status yang berbunyi ‘al-Fatihah’.

Apa pun, berita mengenai kematian, sakit dan kemalangan tidak boleh dijadikan bahan mainan. Ia meninggalkan kesan langsung kepada mangsa dan keluarga mereka. Meskipun dibuktikan berita itu palsu, setiap kali tersebar cerita mengenainya pasti akan menarik perhatian masyarakat yang mengagumi dan menghormati tokoh berkenaan.

Sebab itu, menyebar be­rita palsu dan mem­bohongi orang ramai adalah tergolong dalam perbuatan dosa yang amat dilarang oleh Islam. Dalam masa yang sama, kita diingatkan supaya tabayyun iaitu sentiasa teliti dan berhati-hati dalam membuat kesimpulan terhadap sesuatu perkara.

Firman Allah SWT yang bermaksud: 
"Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini - dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) - sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah lakukan". (al-Hujurat: 6).
Berita atau sebarang maklumat yang diterima mesti diteliti dan dipastikan dahulu ketepatannya bagi mengelakkan sebarang agenda atau perkara yang tidak baik berlaku seperti menfitnah, menipu dan memburukkan seseorang yang lain berlandaskan hawa nafsu dan sifat kebencian.


Umat Islam diingatkan supaya tidak menjadi ejen penyebar berita palsu terutamanya mak­lumat yang bo­leh mendatangkan kegusaran dan kerisauan kepada orang ramai. Perbuatan sedemikian juga dibimbangi menyebabkan seseorang itu menanggung dosa berpanjangan di atas penyebaran berita palsu itu.

Selain itu, tabiat sebegini jika dibiar disemai dalam jiwa masyarakat kita pada hari ini maka keamanan, persaudaraan dan masyarakat harmoni hanyalah menjadi satu harapan atau angan-angan yang tidak berkesudahan. Oleh itu, penekanan kepada semangat mencari dan menyampaikan kebenaran perlu ditekankan dan diteruskan.

Ulama terkenal, Syeikh Dr. Yusuf al-Qaradawi di dalam kitabnya Al-Halal Wa Al-Haram menukilkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: 
“Sejahat-jahat hamba Allah SWT ialah mereka yang berjalan membawa mulut, iaitu mengadu domba, yang suka memecah-belah antara orang yang berkasih sayang, yang mencatatkan orang yang suci dengan kata-kata yang jahat.” - (Riwayat Imam Ahmad).
Ingatlah hidup di dunia ini adalah tempat kita beramal untuk menuai hasilnya di akhirat. Sudahlah amalan kita sedikit, jangan ditambah pula dengan dosa menyebar berita palsu. Permainan dari sudut persepsi dan khabar angin yang ditelan bulat-bulat akan mengundang pelbagai petaka dan bahaya.

Sumber: Utusan