"Ismail Sabri Cheek" Jadi Panggilan Terkini Gabungan Dua Menteri

Bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (kanan) bermesra dengan penggantinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek (kiri) dan Ketua Setiausaha kementerian itu Datuk Mohd Arif Ab Rahman (tengah) pada majlis penyerahan nota serah tugas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani hari ini. - Foto BERNAMA
PUTRAJAYA – Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek dan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kini sering dipanggil ‘Ismail Sabri Cheek’ sebagai merujuk kepada keserasian dua kementerian yang mereka terajui dalam melaksanakan agenda pembangunan luar bandar.

Berkongsi perkara itu pada majlis serah tugas di sini semalam, Ahmad Shabery, yang mengambil alih Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani daripada Ismail Sabri yang kini menerajui Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berikutan rombakan kabinet pada 28 Julai lepas, berkata asas peranan dua kementerian itu adalah sama.

“Sebahagian besar pertanian melibatkan masyarakat luar bandar dan kekuatan luar bandar itu adalah pertanian,” katanya.

Ahmad Shabery berkata ia merupakan kali kedua beliau menerima serahan tugas daripada Ismail Sabri selepas kali pertama untuk menyandang jawatan Menteri Belia dan Sukan sebelum ini.

Katanya beliau masih memerlukan panduan daripada pendahulunya Ismail Sabri dalam memacu kesinambungan agenda pembangunan masyarakat luar bandar di kementerian baharunya itu.

“Setelah lebih dua tahun di kementerian ini banyak perkara yang dirancang beliau tidak memerlukan saya membuat rombakan atau memikirkan sesuatu yang baharu dan sebab itu banyak yang saya akan dapatkan panduan beliau jika ingin membuat penambahbaikan,” katanya. – BERNAMA