Gambar Hiasan |
Isteri saya suka mencicip atau mengambil sedikit makanan saya, baik dalam pinggan atau bungkusan. Ibu saya minta saya menegur perbuatan isteri kerana baginya, pantang orang tua dahulu si isteri buat begitu kerana seperti mahu mendahului suami, malah kurang beradab atas peranan suami.
Tetapi saya rasa tidak ada masalah. Adakah saya salah dan hal ini ada dalam adab Islam?
- Ezman, Parit Buntar.
UKE: Biasalah orang tua penuh dengan pantang larang. Tak menjadi kesalahan berkongsi makanan dan minuman dengan isteri.
Menjalani kehidupan sebagai suami isteri tidak ada yang lebih indah dan romantiknya apabila suami dan isteri tidak kekok untuk menikmati makanan dari satu bekas ataupun suami memakan makanan lebihan isteri dan sebaliknya.
Maka itu sudah cukup untuk membuktikan tiada lagi perasaan “tiada selera, jijik dan sebagainya” disebabkan cinta yang ikhlas dan suci sudah pun mantap dan berpadu.
Memanglah tindakan sedemikian tiadalah hinanya jika diamalkan kerana ia juga merupakan amalan junjungan besar Nabi SAW dengan para isteri baginda.
Ini dapat dibuktikan daripada hadis Saidatina Aishah RA yang menceritakan bahawa:
“Aku minum air dari satu bekas, ketika itu aku sedang berhaid, lalu Nabi SAW mengambil bekas minumanku itu dan meletakkan mulut baginda pada tempat aku meletakkan mulut pada bekas tersebut.”
Paparan hadis ini jelas menunjukkan kepada kita bahawa Nabi SAW tidak menjadikan bekas mulut isterinya sebagai jijik, walaupun ketika itu isteri baginda sedang haid.
Bukan sekadar itu sahaja, bahkan jika diperhatikan kepada hadis lain, didapati baginda juga makan daripada kesan gigitan isteri.
“Aku menggigit sepotong daging, lalu sisa gigitan itu diambil oleh Nabi SAW, lalu baginda pun menggigitnya pada bahagian yang aku gigit tadi.”
Sumber: Utusan