"Itu Licik, Bukan Bersih Namanya," Nik Abduh Bidas Tun M

Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
Ketua Pemuda PAS, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz menyifatkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai seorang yang licik, namun tidak semestinya bekas Perdana Menteri itu "bersih".

Kata Nik Abduh, Dr Mahathir tidak boleh mendakwa dirinya "bersih" hanya kerana kerana tidak menggunakan akaun peribadi untuk wang pembiayaan politik.

"Itu licik, bukan bersih namanya,” sindir Ketua Pemuda PAS dalam satu kenyataan semalam.

Menurut Nik Mohamad Abduh lagi, zaman politik wang di Malaysia sebenarnya bermula dan begitu berleluasa pada era Mahathir yang kini diwarisi parti-parti politik.

“Tun Mahathir tak boleh bersihkan dirinya bahawa beliau tidak pernah guna akaun peribadi untuk wang biaya politik. Itu licik, bukan bersih namanya,” tegasnya lagi.

Pandangan Nik Abduh itu senada dengan sebuah NGO yang sebelum ini turut mendakwa bahawa skandal kewangan besar-besaran di Malaysia telah mula di bawah pemerintahan Dr Mahathir.

"Seperti yang disebut dalam kenyataan kami sebelum ini, skandal kewangan besar-besaran di negara kita mula di bawah pemerintahan Dr Mahathir," dakwa Pengerusi Warga Untuk Tata Kelola Pemerintahan Bertanggungjawab, Zainal Abidin, sebelum ini.

Dr Mahathir semalam menafikan beliau pernah memasukkan wang ke dalam akaun peribadinya untuk kegunaan pada Pilihan Raya Umum (PRU), namun menjelaskan telah menyerahkan wang berjumlah RM200 juta milik UMNO kepada penggantinya, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Sebelum ini, bekas Perdana Menteri itu turut terpalit dengan pelbagai kontroversi dan skandal sepanjang 22 tahun berkuasa termasuk dikaitkan dengan isu kronisme membabitkan nama 'taikun' ternama seperti Eric Chia, Ananda Krishnan, Vincent Tan, Robert Kuok dan ramai lagi. -Kedahnews.com