Awal kemunculan Izreen Azminda, 30, dipersada seni tanah air seakan-akan dipandang sepi. Namun selepas drama Juvana bersiaran di TV3 beberapa tahun lalu, nama anak jati Jitra, Kedah ini kian menjadi sebutan.
Sedekad membina nama, pelbagai onak duri sudah ditempuh ibu tunggal beranak satu ini. Meskipun ada antaranya berbekas di hati, dia selesa mengambil pendekatan berdiam diri dan bertenang.
“Tipu kalau saya tak pernah terasa hati apabila dikaitkan dengan cerita tidak benar. Ketika itu saya hanya mampu menangis.
“Meskipun terluka saya tidak cepat melatah sebaliknya selesa berdiam diri. Bagi saya penjelasan hanya mengundang lebih banyak masalah kerana belum tentu orang percaya.
“Pengalaman banyak mengajar saya supaya bertenang. Apabila buat tak tahu, lama-kelamaan perkara yang diperkatakan itu akan hilang dengan sendirinya,” katanya.
Jelas Izreen lagi, dia tidak kisah andai masyarakat terpengaruh dengan apa yang diperkatakan dan memandang serong terhadapnya. Selagi ia tidak menjejaskan periuk nasinya, Izreen masih boleh bersabar dengan memekakkan telinga.
“Mengambil contoh ketika bercerai dulu, saya dan bekas suami selesa berdiam diri. Kalau saya ego, belum tentu masalah kami selesai. Mungkin sekarang masih turun naik mahkamah.
“Alhamdulillah, pendekatan yang diguna pakai memberi kebaikan kepada kami,” katanya.
Bintang utama drama Kerana Terpaksa Aku Relakan ini turut menzahirkan rasa syukur apabila keputusan berhijab disambut baik penerbit dan stesen televisyen.
“Saya terharu dengan sokongan peminat. Setiap lakonan saya meninggalkan kesan di hati mereka. Secara tak langsung senario itu menafikan tanggapan segelintir pihak artis bertudung susah dapat tawaran berlakon.
“Dalam masa sama, penerimaan orang industri juga baik. Ada saja tawaran menyusul dan disesuaikan dengan penampilan bertudung. Meskipun ada batas tetapi ia bukan penghalang untuk saya terus berkarya,” katanya.
Lebih penting kata Izreen, penampilan itu mencegahnya melakukan perkara memalukan seterusnya mencemarkan imej wanita Islam.
“Bertudung menjadikan kita lebih positif. Rasa malu dan segan datang sendiri sebelum melakukan sesuatu perkara. Dalam lakonan pula, pelakon lelaki dan kru lebih memahami serta tahu batas,” katanya.
Selepas menjayakan drama Eksperimen Cinta di samping Fahrin Ahmad, Izreen berehat seketika kerana mahu meluangkan masa bersama zuriat tersayang, Adrian Umar, 2.
Mengulas perkembangan karier, Izreen berkata, fokusnya sehingga hujung tahun ini lebih kepada telefilem dan mengacara program Mahligai Cinta.
“Seronok dapat mengacara program kewanitaan. Tidak dinafikan awal kemunculan saya kaku dan ramai mengkritik. Namun selepas beberapa bulan saya semakin selesa dan dapat menyesuaikan diri,” katanya yang berminat mengacara program 999.
Tegur artis baru
Gembira apabila persada seni meriah dengan kemunculan ramai pendatang baru, pelakon berwibawa ini bagaimanapun tidak menafikan ada antaranya leka mengejar publisiti hingga mengambil mudah soal disiplin.
“Pendatang baru cepat naik dan mungkin kerana itu ramai yang terlupa tujuan asal mereka menceburi bidang ini.
“Ada antara mereka bermasalah dan tidak berdisiplin. Sesuka hati datang lambat ke lokasi penggambaran, malah ada yang langsung tak datang.
“Saya pun pernah terkena, malah ada yang tidak hormat pelakon senior lain. Susah nak tengok saya marah atau melenting di set penggambaran tetapi kalau melampau, saya bersuara juga,” katanya.
Sumber: myMetro