Jabatan Zakat Kedah Pandang Serius, Bantu Qaseh RM500 Sebulan

Hambali (tengah) melawat Qaseh yang duduk di pangkuan datuknya, Abdul Rani Din, 50.
ALOR SETAR - Kebimbangan keluarga kanak-kanak berkepala besar di Kampung Padang Lalang, di sini, mengenai kos kewangan berakhir apabila menerima bantuan Jabatan Zakat Negeri Kedah (JZNK).

Pegawai Bahagian Korporat JZNK, Ahmad Hambali Mohd Puat berkata, pihak mereka memandang serius kisah Nur Qaseh Aisha Mohamad Sukri, 4.

“Untuk itu, kami terpanggil menghulurkan bantuan kewangan secara bulanan RM500 bawah asnaf miskin demi membantu Qaseh.

“Dengan adanya bantuan kewangan ini, ia diharapkan sekurang-kurangnya membantu meringankan beban kewangan ibu bapanya,” katanya kepada Sinar Harian.

Difahamkan, anak sulung pasangan Siti Noraini Abdul Ghani, 24, dan Mohamad Sukri Hashim, 53, ini turut menerima kad rawatan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan penderitaan Nur Qaseh Aisha diberi susu soya menggantikan susu khas diperlukan kerana kekangan kewangan keluarga. 

Sumber: Sinar Harian