Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir |
Meskipun pada tarikh 28 Julai lalu, nama Tan Sri Muhyiddin Yassin telah digugurkan daripada senarai kabinet terbaru sebagai Timbalan Perdana Menteri, namun Datuk Seri Najib Razak dilaporkan melarang bekas timbalannya itu untuk disingkirkan dari jawatan dalam parti.
Ia susulan desakan banyak pihak dalam UMNO ketika ini yang mencadangkan agar Muhyiddin dipecat dari jawatan selaku Timbalan Presiden UMNO kerana tindakannya yang dilihat tidak searus dengan Najib.
Memetik kenyataan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, amanat tersebut diluahkan sendiri oleh Perdana Menteri ketika membuat perjumpaan tertutup dengan semua pengerusi badan perhubungan negeri di Putrajaya selepas rombakan kabinet dilakukan.
“Bila berlaku krisis itu, adalah suara-suara yang nak suruh Tan Sri Muhyiddin itu, ini. Pecatlah, tapi Perdana Menteri (Najib) kata jangan.
“Sedangkan mungkin dari segi pentadbiran mereka ada masalah, jadi patutnya beliau (Najib) boleh cari macam-macam.
“Tapi tindakannya (Najib) lain, dia pesan supaya semua hormat kepada Muhyiddin kerana dia masih orang besar dalam parti dan juga bekas timbalan perdana menteri,” kata Zambry yang dipetik dari sebuah portal pro-UMNO, Mykmu.
Setelah digugurkan dari jawatan nombor dua negara, Muhyiddin lebih bertambah lantang mengkritik kerajaan dan menggunakan medium mesyuarat perwakilan UMNO sebagai platform beliau menyampaikan pandangannya. -Kedahnews.com