Jari Manis Putus Digigit Kuda, Wanita Saman Polis


New York - Seorang wanita menyaman Jabatan Polis New York selepas seekor kuda milik jabatan itu menggigit jarinya sehingga putus.

Pernilla Ekberg, 28, berkata, serangan berlaku ketika dia cuba mengusap seekor kuda yang ditunggang seorang anggota polis pada November tahun lalu.

Katanya, dia meminta kebenaran untuk mengusap kepala kuda berkenaan dan anggota polis itu membenarkannya.

“Ketika saya mahu menyentuh kepala kuda itu ia tiba-tiba menggigit jari manis di tangan kanan saya hingga putus.

“Saya menjerit meminta bantuan, tetapi anggota polis itu yang panik terus meninggalkan saya,” katanya.

Menurutnya, teman lelakinya mengutip cebisan jarinya dan diletakkan di dalam ais sebelum dibawa ke hospital.

“Bagaimanapun, doktor memberitahu jari saya tidak boleh disambung lagi,” jelasnya.

Katanya, kejadian itu menyebabkan hujung jari manisnya putus dan tidak boleh disambung lagi.

“Keadaan ini menyebabkan saya malu kerana jari saya cacat dan saya sukar untuk menaip,” katanya. - Agensi