Jemaah Dinasihat Tidak Lakukan Perkara Bidaah, Khurata Ketika Wukuf Nanti


MAKKAH - Jemaah Malaysia dinasihatkan agar tidak melakukan perbuatan khurafat dan bidaah sewaktu berwukuf sehingga boleh merosakkan ibadah haji.

Antara perbuatan khurafat itu adalah mengambil tali khemah, menyimpan kerak nasi bagi menambah kekayaan dan menanam duit di Padang Arafah untuk dijadikan ‘ibu duit’ dalam perniagaan.

Pengarah Operasi (Bimbingan) Tabung Haji, Tengku Abdul Aziz Raja Abdullah berkata, Allah sangat murka dengan perbuatan seumpama itu.

Katanya, jemaah perlu menjaga kelakuan, perbuatan dan tingkah laku kerana hari wukuf adalah salah satu hari yang sangat mustajab untuk berdoa kepada Allah SWT.

“Sebagai contoh, di Jabal Rahmah elakkanlah melakukan perbuatan khurafat seperti bersolat menghadap Tugu Jabal Rahmah yang dibina di atas bukit tersebut, mengutip batu untuk dijadikan azimat, mencatat nama dengan niat tertentu serta beriktikad bahawa berdoa di atas adalah mustajab,” katanya kepada pemberita di sini kelmarin.

Katanya, ramai yang beranggapan berdoa untuk mendapat jodoh di Jabal Rahmah paling mustajab tetapi sebenarnya Rasulullah SAW sendiri tidak pernah menaiki bukit tersebut dan bersolat di situ.

Beliau berkata, walaupun banyak riwayat yang disokong majoriti ulama menyebut Jabal Rahmah adalah tempat pertemuan Nabi Allah Adam dan Hawa setelah turun ke bumi, sebaik-baik doa termasuk doa mendapat jodoh dan memperoleh rezeki adalah di dalam kawasan Masjidil Haram seperti di hadapan Kaabah, multazam dan Hijr Ismail.

Menurut beliau, Jabal Rahmah sebenarnya adalah tempat terbaik untuk melihat pemandangan sekitar Padang Arafah kerana kedudukannya yang tinggi dan bukan sebagai tempat untuk melakukan amalan khurafat.

Tengku Abdul Aziz menegaskan, jemaah haji Malaysia jangan terikut-ikut dengan perbuatan sedemikian yang mungkin boleh menyebabkan terpesong akidah.

“Contohi hanya apa yang Rasulullah lakukan ketika berwukuf dengan berdoa, meminta dan merayu hanya kepada Allah.

“Semulia-mulia doa adalah di Arafah. Jadi mintalah apa sahaja yang kita inginkan sama ada untuk kebaikan diri sendiri, anak-anak, negara dan akhirat,” tegasnya.

Beliau menegaskan, hari wukuf sangat penting dalam ibadah haji kerana perbuatan itu adalah salah satu rukun haji.

Menurut beliau, hari wukuf hanyalah sekali dalam setahun iaitu bermulanya tergelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar keesokannya dan jemaah mesti berada di kawasan tersebut. -Utusan