Hashim (kanan) menunjuk gambarnya ketika menyertai Askar Melayu Diraja Malaysia Batalion Ketiga. |
ALOR SETAR - Serangan tentera Jepun di Kepala Batas yang disaksikannya sendiri menaikkan semangat anak jati Kedah dari Kampung Tanjung Musang untuk berkhidmat dalam bidang ketenteraan.
Hashim Awang Majid, 81, berkata, serangan tentera Jepun pada 1942 menyebabkan ramai penduduk menjadi mangsa malah tanaman mereka dimusnahkan.
Menurutnya, selepas menyaksikan sendiri kekejaman tentera Jepun, dia memilih Askar Melayu Diraja Malaysia, Batalion Ketiga bagi mempertahankan tanah airnya daripada dijajah kuasa asing.
Menurutnya, dia menjadi tentera pada 1953 di Port Dickson, Negeri Sembilan dengan sukarela tanpa didesak oleh mana-mana pihak.
“Selama tujuh tahun berkhidmat di dalam angkatan tentera, saya mengalami pelbagai dugaan terutamanya semasa menentang komunis.
"Serangan komunis secara gerila untuk merampas negara menguatkan semangat saya menentang mereka,” katanya.
Hashim berkata, pertempuran dengan komunis di Batu Gajah, Perak pada 1960 masih lagi segar dalam ingatan apabila rakan baiknya dari Kedah cedera terkena tembakan dalam peperangan berkenaan.
Jelasnya, petempuran yang berlaku di kebun getah bermula sebaik sahaja mereka menerima maklumat terdapat komunis membuat rondaan di situ.
“Semasa kami bertempur dengan komunis, kawan saya cuba mengambil tempat bagi bergerak ke hadapan untuk melakukan serangan. Malangnya semasa rakan melintas di hadapan saya, dia ditembak komunis.
“Saya mengesyaki sasaran mereka ialah saya pada awalnya tetapi tiba-tiba kawan saya itu melintas di hadapan, dia terkena tembakan itu,” katanya.
Bagaimanapun Hashim berkata, operasi selama dua hari itu menghasilkan kejayaan apabila dua anggota komunis berjaya dibunuh.
Rakannya yang ditembak komunis berjaya diselamatkan dan peristiwa itu memberi kenangan pahit kepadanya.
"Walaupun sehingga hari ini belum pernah mendapat anugerah selepas berkhidmat selama tujuh tahun dalam angkatan tentera tetapi penglibatan semasa perbarisan Hari Kemerdekaan pada 1957 merupakan penghargaan yang sangat bernilai bagi saya,” katanya.
Sumber: Sinar Harian