Jersi Baru Man United Dengan Rekaan Klasik Terbaru Adidas



Para pemain kelab bola sepak ternama dunia, Manchester United akan kembali beraksi tidak lama lagi, namun kali ini mereka bakal menyarung jersi Adidas yang baru namun klasik.

Jersi oleh gergasi pengeluar jenama sukan Jerman ini dibuat selepas mereka menandatangani perjanjian rekod dunia £750 juta dengan kelab itu di mana rekaan jersi tersebut akan membawa peminat-peminatnya mengimbas kembali era 80-an.

Sebelum ini, Adidas turut menaja beberapa kelab terkenal dunia dengan kontrak lumayan seperti Bayern Munich (£645 juta) dan Chelsea (£300 juta).

Jersi merah "Red Devils" itu kali ini ditampilkan dengan rekaan yang lebih ringkas, menyaksikan padanan v-leher putih dan tiga jalur klasik ke bawah lengan, tidak banyak berbeza dengan kit klasik Adidas yang dikeluarkan kira-kira 30 tahun lalu.

Kit tersebut turut tampil bersama moto 'Breaking Expectations', telah dijual di lokasi terpilih di Manchester dan London sejak tengah malam kelmarin, serta telah dilancarkan oleh Daley Blind dan Phil Jones.



Megastore United bagaimanapun ditutup selama seminggu selepas perjanjian sedia ada mereka dengan Nike yang dimetrai selama 13 musim telah tamat, dan dijadualkan dibuka semula pada Sabtu ini, pukul 9 pagi.

Pereka Adidas, Inigo Turner berkata: "Kami telah melalui satu perjalanan sebenar dalam mencipta kit baru ini. Ia adalah inspirasi kami daripada kit ikonik masa lalu.

"Kami bermatlamat untuk 'memecahkan jangkaan' dengan memperbaharui ciri reka bentuk yang ringkas tetapi berkesan seperti kolar V klasik dan ikon tiga jalur di bahagian tangan sebagai komitmen kami untuk memberikan kepada United satu kit yang benar-benar hebat.

Pengarah Urusan Syarikat Richard Arnold, seorang tokoh utama dalam rekod perjanjian itu berkata: "Semua orang di United sangat bangga dengan reka bentuk klasik baju ini." -Kedahnews.com