"Jika Ada Peluang, Kami Mahu Kembali Ke Sekolah" - Dua Beradik Di Kulim

Nurul Aliyana Natasha (dua, kiri) mendukung adiknya dan Muhammad Hasmizal (tengah) bersama ahli keluarga yang lain.
KULIM - "Jika ada peluang, kami mahu kembali ke sekolah." Itu hasrat dua beradik yang dihimpit kemiskinan dan terpaksa berhenti sekolah selepas ibu bapa mereka tidak mampu membiayai persekolahan mereka.

Nurul Aliyana Natasha Muhamad Hasmi, 12, anak sulung daripada lima beradik yang bercita-cita menjadi pegawai polis berkata, dia sedih kerana tidak dapat pergi ke sekolah seperti rakan sebayanya yang lain.

“Saya rindu nak pakai baju sekolah, jumpa kawan-kawan, jumpa guru-guru, tapi ibu bapa saya tak mampu, saya faham.

“Kalau ada peluang memang saya nak sambung balik pelajaran, nak pergi sekolah. Saya harap ada pihak dapat mencari jalan keluar kepada masalah saya dan adik,” katanya.

Malah, adiknya, Muhammad Hasmizal yang menyimpan hasrat untuk menjadi seorang anggota tentera bagi membantu keluarga turut menaruh harapan sama supaya dapat menyambung semula pelajarannya.

“Saya nak sangat ke sekolah, saya nak jadi askar. Bila saya kerja nanti saya nak tolong keluarga saya. Saya tak mahu hidup begini lagi.

“Tapi kalau saya nak berjaya saya kena pergi sekolah. Saya harap ada orang dapat tolong, saya mahu belajar bersungguh-sungguh,” katanya.

Kesempitan hidup yang dihadapi keluarga dari Kampung Air Merah, dekat sini, menyebabkan dua beradik tahun enam dan empat terpaksa menamatkan persekolahan mereka.

Ibunya mereka, Nurul Syakini Abdul Manab, 31, berkata, dia dan suami, Muhamad Hasmi Idris, 35, terpaksa menghentikan persekolahan dua anak mereka itu kerana masalah kewangan.

“Ibu bapa mana sanggup tengok anak tak bersekolah terutama di zaman sekarang, saya sedih kerana kesempitan hidup saya terpaksa berhentikan dua anak saya daripada bersekolah,” katanya kepada Sinar Harian.

Katanya yang juga sering mengalami masalah kesihatan itu, kali terakhir anaknya bersekolah di Sungai Kob, sebelum rumah didiami banjir.

"Habis buku-buku sekolah rosak dan tak dapat dipulangkan semula kepada sekolah.

“Sebab wang pun makin kurang kami tak mampu bayar sewa dan terpaksa pindah ke sini, saya cuba mohon semula anak-anak masuk ke sekolah namun perlu mengganti semula buku-buku teks yang tidak dipulangkan,” katanya.

Nurul Syakini berkata, keluarganya hanya bergantung kepada sumber pendapatan suami yang bekerja tidak menentu di kedai makan sebagai penebar roti canai sebanyak RM30 hingga RM40 sehari.

“Pendapatan suami bukan sahaja tidak cukup untuk biaya lima anak, malah untuk membayar bil air dan elektrik juga sebelum ini tidak mampu,” katanya

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif DCT Beras (M) Sdn Bhd, Datuk Noridan Spee Yee berkata, pihak bertanggungjawab sepatutnya meringankan beban rakyat dan menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“Mereka tidak mampu, bukan tak mahu belajar, nak ganti buku sekolah lagi sedangkan nak makan pun tak cukup wang,” katanya yang turut meluangkan masa menyumbangkan barang keperluan makanan dan wang tunai kepada keluarga tersebut.

Sumber: Sinar Harian