JKKK Di Kulim Bimbang Simpang Tiada Lampu Jalan Bahayakan Rakyat


KULIM - Ketiadaan lampu di simpang masuk ke Kampung Gunung Bongsu, di sini, dikhuatiri menyumbang kepada pelbagai risiko kejadian tidak diingini.

Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Ismail Osman berkata, ramai anak muda, terutamanya wanita yang bekerja kilang menunggu van pekerja di kawasan itu pada awal pagi.

"Kawasan di situ dikelilingi ladang kelapa sawit, ramai warga asing dan ada penagih... saya bimbang berlaku kejadian tidak diingini.

"Keadaan memang sangat gelap masa itu dan gadis yang menunggu van pekerja berdepan pelbagai risiko jenayah.

"Kes ragut pernah berlaku di situ, tapi sudah lama. Tak mustahil kes itu berulang memandangkan kawasan itu masih gelap," katanya.

Menurutnya, selain berlaku kejadian jenayah, keadaan simpang yang gelap itu juga menyumbang kepada risiko kemalangan jalan raya.

"Jalan ke Kampung Gunung Bongsu ini menjadi laluan pengguna yang ingin ke Selama, Sungai Batu dan Serdang.

"Tidak mustahil pengguna jalan ini terbabas kerana keadaan kawasan yang gelap," katanya.

Beliau berkata, pemasangan lampu di simpang jalan berkenaan penting untuk mengelakkan pelbagai risiko buruk.

"Saya telah buat aduan kepada Adun dan ahli Parlimen beberapa tahun lalu, tapi tiada sebarang perkembangan.

"Lampu ini bukan untuk saya seorang, tapi untuk semua penduduk dan pengguna jalan ini," katanya.

Sementara itu, pekerja kilang, Diana Hani Azmi, 20, berkata, masalah tiada lampu jalan di kawasan terbabit perlu diberikan perhatian.

Menurutnya, dia yang menunggu van pekerja di kawasan simpang berkenaan pada awal pagi dan malam sememangnya berdepan dengan pelbagai risiko.

"Saya kerja ikut syif... kadang-kadang pagi dan ada masa malam. Keadaan memang gelap dan seram. Saya takut tapi terpaksa buat-buat berani, kalau ada kawan-kawan tak apa lah.

"Tapi saya harap ada pihak yang bantu kami di sini... letaklah lampu jalan satu. Bukan pekerja kilang saja yang dapat manfaat tapi semua orang yang lalu jalan ini,” katanya.

Sumber: Sinar Harian