Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) |
Jakarta - Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mengesyaki ada kumpulan jenayah terancang yang terbabit dalam peningkatan harga daging di pasaran negara itu baru-baru ini.
Harga daging melonjak Rp140 ribu (RM41.11) sekilogram walaupun Menteri Pertanian, Sulaiman memberitahu, negara itu mempunyai stok yang mencukupi untuk empat bulan akan datang.
“Terdapat kumpulan yang sengaja menyembunyikan bekalan daging di pasaran dan perkara ini disiasat,” kata Jokowi.
Beliau juga menegaskan bahawa bekalan daging mencukupi.
“Persoalannya, jika kerajaan mengimport daging dalam jumlah yang besar adakah harganya akan turun?” soalnya.
Menteri Perdagangan, Rachmat Gobel baru-baru ini meluluskan import 50,000 lembu dari Australia.
Jumlah itu jauh lebih rendah berbanding suku tahun sebelum ini iaitu 270,000 ekor.
Jumlah yang terlalu rendah itu dikatakan mencetus manipulasi harga daging oleh beberapa pihak yang mahu memaksa kerajaan meningkatkan kembali jumlah import lembu.
Pengerusi Suruhanjaya Parlimen, Heri Gunawan berkata, pengurangan import lembu itu memberi kesan kepada ‘mafia daging’.
“Pengurangan itu menyebabkan kumpulan berkenaan mengalami kerugian besar dan memaksa mereka memanipulasi harga daging,” katanya. - Agensi