Kaji Semula Akta Komunikasi Dan Multimedia, Gesa Menteri

Datuk Seri Salleh Said Keruak
Menteri Komunikasi dan Multmedia, Datuk Seri Salleh Said Keruak hari ini menggesa kerajaan mengkaji semula Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) di negara ini.

Ini kerana menurut beliau, penggunaan  internet dan media sosial dilihat dipelopori terlalu meluas dan tanpa mengikut undang-undang.

"Apabila AKM mula digubal pada tahun 1998, kerajaan tidak pernah menjangka penggunaan internet dan media sosial akan menjadi begitu popular dan meluas sepertimana hari ini.

"Hari ini, media internet dan sosial telah menjadi satu cara hidup sehari-hari yang mana bukan sahaja memberi impak dalam pengaliran maklumat, malahan kewangan dan perniagaan. 

"Bukan sesuatu yang mengejutkan sekiranya semua perkara akan diuruskan dengan menggunakan internet pada masa akan datang," katanya menerusi blognya sskeruak.blogspot.com hari ini.

Katanya, apa yang dibimbangkan adalah jenayah internet seperti penipuan, kecurian data, kecurian identiti, fabrikasi berita palsu dan dokumen palsu.

“Di kebanyakan negara, ia dianggap satu jenayah serius yang boleh dikenakan hukuman penjara untuk jangka masa yang agak panjang.

“Walaupun negara ini mengamalkan kebebasan bersuara dan hak untuk memberi dan menerima maklumat, kerajaan juga mesti melindungi rakyat dari fitnah serta serangan peribadi.

Jelasnya lagi, keselamatan negara dan ketenteraman awam juga boleh terjejas sekiranya kerajaan tidak melakukan pengawalan ke atas apa yang dipaparkan di internet.

“Kerajaan harus kaji semula AKM supaya kita dapat mengimbangi kebebasan maklumat yang disalurkan dan dalam masa yang sama, tidak menghalang kebebasan bersuara rakyat.

“Kami akan mendapatkan pandangan dan maklum balas dari orang-orang dalam industri untuk memastikan bahawa pendekatan yang lebih holistik dicapai supaya ia memenuhi matlamat untuk semua pihak. 

"Ini adalah untuk memberi jaminan kepada orang ramai bahawa langkah ini bukan bertujuan untuk menghalang kebebasan bersuara atau menyekat kebebasan maklumat,” tegasnya. 

Sumber: Sinar Harian