Kanak-Kanak OKU Di Sungai Petani Perlu Bantuan RM32,000

Nur Amani menggunakan mesin tersebut semasa tidur.
SUNGAI PETANI – Kekangan kewangan yang dihadapi menyebabkan seorang ibu di Bandar Amanjaya berharap ada pihak sudi membantu dalam mengumpulkan wang untuk membeli alat bantuan pernafasan buat anaknya yang berstatus orang kurang upaya (OKU).

Noor Almi Sufiza Ishak, 35, berkata, anaknya Nur Amani Batrisya Muhadzir, 5, yang menghidap sindrom Rett iaitu masalah gangguan pada perkembangan otak memerlukan RM32,000 untuk membeli mesin berkenaan.

Menurutnya, Nur Amani Batrisya mempunyai masalah pernafasan yang memerlukan mesin khas dikenali mesin BiPAP yang diperlukan untuk bantuan pernafasan ketika dia ditidurkan ataupun semasa berdepan.

“Setakat ini, kami masih meminjam mesin milik Hospital Pulau Pinang dan untuk mendapatkan sendiri buat masa ini masih belum mampu kerana kosnya mencecah RM32,000,” katanya.

Noor Almi Sufiza berkata, anak kedua daripada tiga beradik itu dikesan menghidap penyakit berkenaan ketika berusia dua tahun selepas anaknya menunjukkan tanda-tanda abnormal sejak berusia setahun.

“Nur Amani sering menerima rawatan di hospital sehingga kerap dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi apabila umurnya meningkat ke dua tahun.

“Setelah menjalani pelbagai pemeriksaan dan rawatan termasuk di Hospital Alor Setar, Sungai Petani dan Pulau Pinang, Nur Amani Batrisya disahkan menghidap sindrom Rett iaitu masalah gangguan perkembangan otak,” katanya kepada Sinar Harian.

Noor Almi Sufiza berkata, jika dilihat dari segi fizikal anaknya, pasti orang menyangka Nur Amani Batrisya adalah kanak-kanak normal.   

Bagaimanapun, jelasnya, Nur Amani Batrisya masih tidak mampu bercakap walaupun usianya mencecah lima tahun malah dia perlukan bantuan sepanjang masa, melakukan sesuatu pergerakan tangan secara berulang-ulang, dan berdepan masalah lengkungan abnormal dari tulang belakang.

"Disebabkan gejala berkenaan, Nur Amani Batrisya tidak dapat duduk atau berdiri seperti kanak-kanak lain," katanya.

Noor Almi Sufiza berkata, dia terpaksa berhenti kerja sebagai juruteknik di sebuah kilang bagi memberi tumpuan kepada anaknya.

Menurutnya, suaminya, Muhadzir Ahmad, 38, yang bekerja di sebuah pusat servis kenderaan di Kulim terpaksa membuat kerja sambilan bagi menampung perbelanjaan Nur Amani Batrisya dan dua lagi anak, Adib Dinniey, 7, dan Nur Afiah Maisarah, 3.

“Buat masa ini, Nur Amani Batrisya hanya bergantung kepada susu semata-mata kerana dia tidak boleh diberikan makanan lain.

"Doktor mengesyorkan dia diberi minum susu jenama Pediasure berharga mencecah RM500 sebulan menggunakan tiub yang dipasang di bahagian perutnya setiap empat jam,” katanya.

Noor Almi Sufiza berkata, wang bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat yang diperoleh secara bulanan tidak mampu untuk menampung perbelanjaan anaknya yang turut memerlukan lampin pakai buang serta kos rawatan akibat berulang-alik ke hospital.

"Kami kini mengumpul dana untuk mendapatkan mesin BiPAP yang dipinjam terlalu lama iaitu sejak lapan bulan lalu dari Hospital Pulau Pinang sebelum memulangkannya semula sebaik sahaja sudah membeli alat bantuan tersebut," katanya.

Orang ramai yang ingin membantu, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional bernombor 0200 6410 0001 1264.

Sumber: Sinar Harian