Karim Latiff Pelakon Filem Albab Meninggal Dunia.. Al-Fatihah

 Karim Latiff
DUNIA hiburan seni hari ini kehilangan seorang lagi pengiat seni apabila pelakon yang pernah membintangi filem Ahmad Albab, Karim Latiff kembali ke rahmatullah kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.
Allahyarham dilaporkan menghidap kanser tahap empat, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Kuala Lumpur (HKL).
Menurut seorang kenalan keluarganya, Karim Latiff atau nama sebenar Abdul Karim Abdul Latiff, 78 dimasukkan ke HKL selepas sesak nafas dan dikenal pasti menghidap barah menerusi pemeriksaan baru-baru ini.
“Allahyarham meninggal dunia di hospital. Jenazahnya kini di bawa ke kediaman keluarga di Kampung Pasir Hulu Klang tetapi setakat ini saya belum dapat makluman mengenai perincian lain termasuk urusan pengebumiannya,” katanya kepada BH Online.
Menerusi filem Ahmad Albab arahan Tan Sri P Ramlee, Allahyarham memegang watak Safar iaitu biras kepada Syawal yang dilakonkan oleh Seniman Agung itu.
Karim Latiff sebagai Safar dalam filem Ahmad Albab.
Karim Latiff sebagai Safar dalam filem Ahmad Albab.
Selain itu, Allahyarham turut membintangi beberapa filem lain antaranya Sumpah Pontianak, Mahsuri, Anak Bapak, Masam-masam Manis dan Keluarga 69.
Pelakon veteran ini juga berbakat dalam arena seni suara dan pernah bertugas di Radio Televisyen Malaysia (RTM) sebagai pengalih suara.
Hasil perkahwinannya bersama Che Asma Hussain, Allahyarham dikurniakan lima cahaya mata iaitu Izuddin, Izmir, Nur Iznita, Izhar dan Izralfiddin selain 10 cucu. -Kedahnews.com