Karnival Hari Peladang Cemas Berdepan Ribut, Khemah Runtuh


ALOR SETAR - Seramai 12 usahawan di Karnival Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kedah di Taman Jubli Emas, di sini berdepan detik cemas apabila khemah mereka diterbangkan ribut.

Dalam kejadian kira-kira 4.50 petang kelmarin, kira-kira 500 peniaga dan pengunjung bertempiaran lari apabila tujuh khemah dilanda angin kuat.

Usahawan telur masin, Muhammad Nazri berkata, kebanyakan peniaga bagaimanapun meneruskan perniagaan mereka.


“Kami tidak sempat berbuat apa-apa. Sebaik lari ke belakang, kami terkejut tengok bumbung khemah tempat kami berniaga diterbangkan ke kawasan hadapan.

“Mujur tiada barang niaga seperti telur masin kami rosak kerana hujan turun hanya 30 minit selepas angin kuat dan ribut,” katanya.


Menurutnya, mereka bersyukur tiada sesiapa mengalami kecederaan akibat kejadian itu meskipun khemah rosak teruk.

"Kami berterima kasih kepada pihak bertanggungjawab yang memasang khemah baharu membolehkan kami berniaga seperti biasa," katanya.

Pembimbing usahawan, Siti Nur Hidayah Abdullah, 50, berkata, ketika kejadian dia bersama usahawan lain sedang sibuk melayan pelanggan.


Sementara penternak unggas eksotik, Ishak Yahya, 59, berkata, walaupun jualannya terjejas disebabkan kejadian tersebut, namun dia masih meneruskan perniagaan seperti biasa.

Tinjauan mendapati, aktiviti karnival tetap lancar meskipun berlaku ribut kelmarin. Ramai warga sekitar mengunjungi karnival berkenaan.

Sumber: Sinar Harian