Lima tahun berkawan, dua tahun bertunang dan hidup bersama sebagai suami isteri sejak 2010, sudah cukup bagi Nurul Nadia Mokhtar untuk mengenali ‘luar dan dalam’ insan bernama Muhammad Razie Abd Rahim kapten pasukan hoki kebangsaan.
Kesimpulan yang boleh dibuat Nadia ialah Razie tidak banyak berubah daripada Razie yang mula dikenalinya pada 2003.
“Dia masih dengan sifat pendiam, tenang, simple, bertanggungjawab dan penyayang. Itulah Muhammad Razie Rahim yang saya kenal,” ungkap Nadia.
Menurut Nadia, tempoh berkawan selama lima tahun, tidak terlalu banyak yang diketahuinya mengenai lelaki ini kerana sifatnya yang pendiam, bila ditanya baru bercakap, itupun sepatah-sepatah ibarat ada ketulan emas dalam mulutnya.
Tapi, bila bertunang pada 2008, sedikit demi sedikit sisi peribadi Razie diketahui Nadia walaupun belum 100 peratus. Sekurang-kurangnya, ketika itu Nadia sangat selesa dengan keperibadian Razie yang bersopan, lemah lembut, berbudi bahasa, bertanggungjawab dan penyayang. Dia dapat merasakan pemain hoki itu pilihan tepat untuk dijadikan suami.
Sejak mendirikan rumah tangga pada 2010, Nadia semakin mengenali hati budi Razie. Apa yang selama ini tersembunyi, bukan lagi menjadi rahsia. Lima tahun meniti hidup sebagai suami isteri sudah cukup untuk Nadia membuat penilaian. Dan dia tidak teragak-agak untuk memberi A+ kepada Razie sebagai ketua keluarga.
“Apa lagi yang diimpikan seorang isteri selain daripada kasih sayang seorang suami,” ungkap Nadia.
“Saya mendapat semua itu daripada Razie. Dia seorang yang penyayang dan sangat bertanggungjawab terhadap keluarga. Walaupun kehidupan kami hanya sederhana, saya bahagia dan tidak akan meminta lebih daripada itu.”
Menyingkap sejarah cintanya, Nadia memberitahu, pertemuan pertama mereka bermula di gelanggang hoki di Australia pada 2003, ketika sama-sama menyertai perlawanan hoki persahabatan di sana. Ketika itu Razie berusia 16 tahun, manakala Nadia, 15.
“Saya mewakili pasukan hoki wanita Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ) manakala Razie, skuad lelaki gabungan SSBJ dan Sekolah Sukan Bandar Penawar (SSBP), Johor. Di situlah pertemuan pertama kami, tapi Razie ketika itu agak pemalu dan pendiam berbanding rakan-rakan lain.
“Bila pulang ke Malaysia, Razie ditakdirkan meneruskan pelajaran di SSBJ dan kami semakin kerap bertemu. Tapi, ketika itu, saya tidak mempunyai sebarang perasaan terhadapnya sebaliknya menganggap dia sebagai abang angkat. Mungkin kerana minat kami yang sama iaitu hoki, kami seronok berkawan.
“Walaupun hubungan kami agak rapat, tapi saya tidak berani menggunakan istilah itu sebagai hubungan cinta walaupun perasaan itu ada apabila makin lama kami berkawan. Saya lebih selesa menganggap kami kawan rapat.
“Apatah lagi ayah awal-awal lagi sudah memberi amaran melarang bercinta semasa memberi lampu hijau untuk saya menyertai SSBJ. Pada awalnya ayah memang tidak benarkan ke SSBJ, maklumlah ketika itu baru berusia 13 tahun, jadi dia berat melepaskan saya tinggal di asrama. Tapi selepas merayu, dia izinkan.
“Namun, kebenaran yang diberi berserta dengan syarat saya tidak boleh bercinta atau berkawan rapat dengan budak lelaki. Dia mahu saya tumpukan perhatian kepada pelajaran dan karier saya sebagai pemain hoki. Dia siap beri amaran, jika tahu saya bercinta, dia akan bawa saya balik rumah,” cerita Nadia.
Amaran ayahnya itu menyebabkan Nadia sangat sukar untuk menerima cinta lelaki walaupun sebagai remaja, dia memiliki perasaan untuk dicintai dan disayangi. Oleh itu sebab itu, Nadia tidak pernah menganggap hubungannya dengan Razie sebagai cinta dan selesa kekal sebagai kawan.
“Saya dapat rasa Razie sukakan saya dan mahukan hubungan serius. Tapi, bila teringatkan amaran ayah, saya tidak berani mengatakan ‘ya’ kepadanya. Saya tidak mahu langgar janji kepada ayah kerana memang niat saya menyertai SSBJ itu untuk kembangkan bakat sebagai pemain hoki.
“Pada 2006, ayah meninggal dunia. Pada hari kematian ayah itu, Razie dan rakan-rakan sepasukannya datang menziarah. Dalam kesedihan itu, saya berasa sangat terharu dengan kehadiran mereka. Saya dapat lihat keikhlasan Razie dalam hubungan kami.
“Sejak ketiadaan ayah, saya seolah-olah hilang tempat mengadu walaupun masih mempunyai abang. Jadi, saya banyak menceritakan masalah saya kepada Razie menyebabkan lama kelamaan kami semakin rapat. Akhirnya, dengan restu keluarga, kami bertunang pada 2008,” katanya.
Dua tahun selepas itu atau tepatnya pada 14 Mei, 2010, bertepatan dengan hari jadi Nadia yang ke-22, mereka sah bergelar suami isteri. Kini, hidup mereka diserikan dengan kehadiran permata hati, Tia Adlina Batrisya, 4.
Nadia mengambil keputusan menjadi suri rumah sepenuh masa dan terpaksa melupakan kariernya sebagai pemain hoki selepas tiga kali menjalani pembedahan lutut. Namun dia tetap berasa puas kerana sempat mewakili negara di posisi pertahanan selama tujuh tahun.
Menceritakan sisi lain suaminya, Nadia berkata Razie seorang yang sangat mudah dalam kehidupannya. Selain tidak cerewet soal makanan, dia juga tidak memilih dalam berpakaian.
“Dia bukan seorang yang mementingkan jenama, asalkan selesa. Pakaian berharga RM10 atau yang dibeli di kedai bundle pun dipakainya. Begitu juga dalam bab makan, apa yang saya masak, semuanya dia makan,” ujar Nadia.
Sejak menjadi isteri Razie, barulah dia tahu suaminya itu seorang kaki pancing. Dia akan menggunakan segala kesempatan masa terluang untuk menunaikan hobinya itu. Selalunya, Nadia dan Tia akan menemaninya.
“Kalau dah memancing, dia boleh lupa dunia sekeliling. Kalau tak diajak balik, mahu dia berumahtangga di tepi kolam itu. Sebagai isteri, saya cuba memahami minatnya dan mengikutnya. Mula-mula saya berasa bosan tapi lama kelamaan, saya sendiri sudah seronok memancing. Begitu juga dengan Tia, kalau ditanya hendak ke kompleks beli belah atau memancing, dia akan memilih memancing.’’
Nadia turut mendedahkan, Razie juga seorang yang penyayang terhadap binatang, terutama kucing. Masa terluang di rumah lebih banyak diisi dengan melayan kucing. Ada enam kucing di rumah mereka tapi hanya seekor yang terlalu istimewa untuk Nadia.
“Ini Kyena,” kata Nadia sambil menunjukkan seekor kucing kacukan. “Razie beli dari Russia sebagai hadiah hari jadi saya dan ulang tahun perkahwinan kami pada 14 Mei lalu,” ujar isteri berusia 27 tahun itu bangga sambil membelai-belai kucing itu.
Kyena mungkin hanya seekor kucing tapi ia lambang cinta Razie kepada Nadia!
Sumber: myMetro