Pelancaran Pusat Transformasi Digital Kedah (KDTC) |
ALOR SETAR - Pusat Transformasi Digital Kedah (KDTC) mampu merangsang pembangunan industri teknologi maklumat dan merapatkan jurang digital dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Exco Sains, Inovasi dan Teknologi Maklumat, Komunikasi dan Teknologi Tinggi dan Sumber Tenaga Manusia Negeri, Datuk Norsabrina Mohd Noor berkata objektif KDTC adalah untuk menyediakan fasiliti digital terkini dan bertaraf global.
"Ia bagi menggalakkan dan merangsang pembangunan teknologi komunikasi maklumat (ICT) serta merapatkan jurang digital di Kedah," katanya pada majlis pelancaran KDTC dan Program Kembara Digital Malaysia di sini semalam.
Turut hadir Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir.
Norsabrina berkata pelbagai aktiviti telah dan sedang dijalankan bertujuan memberi manfaat kepada rakyat Kedah seperti program e-rezeki untuk memberi peluang kepada golongan berpendapatan rendah menjana pendapatan tambahan.
Selain itu, program Icon Junior yang diwujudkan juga mampu mencungkil bakat generasi muda yang kreatif dalam membangunkan aplikasi mudah alih.
Norsabrina berkata, KDTC telah berjaya melatih 2,105 orang melalui kursus dan latihan menerusi e-rezeki, Icon Junior dan Usahawan ICT Bumiputera yang kesemuanya disediakan secara percuma kepada rakyat Kedah.
KDTC dicetuskan semasa program Makmal Transformasi Negeri Kedah (MTK) pada 2013 dan mula beroperasi sejak Sept 2014.
Ia merupakan sebuah pusat kemahiran dan perkembangan ICT serta teknologi digital yang disediakan oleh kerajaan negeri untuk rakyat Kedah. - Bernama