Kedai Campur Cermin Mata Tiruan Dengan Yang Tulen Di Kulim

Kedai yang dipercayai menjual cermin mata palsu diserbu KPDNKK dalam operasi kelmarin.
KULIM - Pamer cermin mata tiruan bersama cermin mata asli, demikian taktik pengusaha sebuah kedai menjual cermin mata bagi menarik perhatian pelanggan.

Bagaimanapun helah tersebut berjaya dipatahkan dalam satu serbuan oleh Pejabat Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Seberang Perai Tengah (SPT) Pulau Pinang kelmarin.

Ketua Cawangan Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Cawangan Seberang Perai Tengah, Abdul Madi Wahab berkata, sebanyak 62 unit cermin mata tiruan dirampas dalam operasi tersebut dengan nilai rampasan hampir RM27,900.

"Pengusaha kedai ini cuba mengelirukan pihak berkuasa dengan meletakkan sekali cermin mata tiruan dengan yang asli, namun helah ini gagal," katanya.

Katanya, serbuan dijalankan hasil daripada aduan orang awam yang mendakwa kedai berkenaan menjual cermin mata dengan harga yang rendah berbanding harga asli.

“Siasatan awal mendapati harga yang dijual 20 hingga 30 peratus lebih murah berbanding cermin mata asli.

“Kes disiasat mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, jika sabit kesalahan pertama boleh didenda sehingga RM15,000 bagi setiap barangan dan tidak lebih RM30,000 bagi kesalahan kedua dan seterusnya,” katanya.

Sumber: Sinar Harian