Kedai Gunting Rambut "Mudah Alih" Istimewa Di Pendang

Abdul Malik menggunting rambut seorang pelanggannya di dalam van di pekan Pendang.
PENDANG - Bermottokan peniaga cari pelanggan, seorang bekas guru agama di sebuah sekolah agama rakyat memanfaatkan pengalamannya menggunting rambut dengan menawarkan perkhidmatan berkenaan menerusi mobile store atau kedai mudah alih.

Bermodalkan wang sebanyak RM15,000, Abdul Malik Zakaria, 46, dari Kampung Simpang Empat, Kampung Gajah Mati membeli sebuah van dan diubahsuai seperti kedai gunting rambut.

Abdul Malik berkata, dia baru sahaja memulakan perniagaan itu sebulan lalu dan sambutan diterima daripada orang ramai sangat menggalakkan.

“Idea perniagaan ini bermula apabila melihat kedai tetap tidak lagi sesuai kepada pelanggan pada masa kini kerana sebagai peniaga saya mesti mencari pelanggan dan bukannya pelanggan mencari saya.

"Konsep ini memenuhi permintaan pelanggan dan mereka lebih suka peniaga datang ke tempat mereka untuk memberi perkhidmatan. Oleh itu, saya sudah menetapkan jadual setiap hari pada tempat tertentu supaya pelanggan dapat datang ke van saya ini,” katanya.  

Abdul Malik berkata, dia turut ditawarkan bagi memberi perkhidmatan kepada pelajar sekolah berasrama.

Jelasnya, perkhidmatan yang ditawarkan memudahkan pihak pengurusan sekolah mengumpul pelajarnya dan menggunting rambut secara beramai-ramai.

"Konsep ini dapat membantu pelanggan yang menghadapi masalah kesihatan seperti lumpuh dan terlantar. ternyata perkhidmatan yang saya tawarkan memenuhi keinginan orang ramai.

“Dari segi bayaran pula, saya hanya mengenakan RM5 untuk gunting rambut biasa manakala bagi yang berfesyen hanya RM7,” katanya.  

Abdul Malik berkata, perkhidmatannya bermula jam 8 pagi hingga 10 malam di pasar raya, pasar tani serta karnival.

Sumber: Sinar Harian