Penduduk Palestin melihat kerosakan dalam rumah yang dibakar pelampau Yahudi menyebabkan seorang bayi terbunuh pagi tadi. - Foto AFP |
Duma, Tebing Barat - Kekejaman Yahudi tiada batasnya hingga tergamak membakar rumah penduduk Palestin dengan penghuninya masih berada di dalam rumah itu menyebabkan seorang bayi berusia 18 bulan mati hangus manakala abangnya yang baru berusia empat tahun serta ibu bapa, cedera parah akibat melecur teruk.
Rumah penduduk Palestin di Duma, sebuah kampung kecil berhampiran Nablus, dibakar pagi tadi ketika penghuninya sedang tidur dan ada tulisan dalam bahasa Ibrani berbunyi ‘membalas dendam’ pada dinding rumah.
Ibu bapa serta abangnya bayi itu diterbangkan dengan helikopter untuk rawatan ke sebuah hospital Israel.
Ia serangan paling teruk oleh pelampau Yahudi sejak remaja Palestin dibakar hingga mati di Baitulmaqdis setahun lalu.
Penuduk Duma, Ibrahim Dawabsheh, berkata dia mendengar orang menjerit meminta tolong dan bergegas melihat.
“Saya nampak dua lelaki bertopeng di luar rumah itu," katanya yang kemudian pergi untuk meminta bantuan dan kembali, mereka sudah pergi.
“Kami menemui ibu bapa bayi itu di luar rumah dengan luka bakar. Mereka beritahu ada seorang lagi anak lelaki dalam rumah, kami membawanya keluar dan terkejut apabila diberitahu ada seorang budak lagi.
“Kami tidak sempat menyelamatkannya kerana api sudah marak,” kata Dawabsheh.
Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu berkata, beliau terkejut dan menganggap ia serangan pengganas.
“Israel mengambil tindakan tegas terhadap keganasan, tidak kira siapa pelakunya," katanya dalam satu kenyataan.
Nabil Abu Rdainah iaitu jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas berkata, jenayah ini tidak akan berlaku jika kerajaan Israel tidak membenarkan pelampau Yahudi membuka penempatan serta melindungi mereka. - Reuters