Kemarau Panjang Teruk, Indonesia Diancam Krisis Makanan


Jakarta - Indonesia berdepan risiko krisis makanan selepas musim kemarau berpanjangan menyebabkan industri pertanian termasuk tanaman padi terjejas teruk.

Pegawai Badan Nasional Menangani Bencana, Sutopo Purwo Nugroho berkata, fenomena El Nino pada tahun ini menyebabkan musim kemarau semakin panjang.

“Kebiasaannya musim tengkujuh bermula pada Oktober, tetapi akibat El Nino ia mungkin bermula lewat satu bulan.

“Musim kemarau tahun ini dijangka berlarutan sehingga November dan kemuncaknya antara Oktober dan November,” katanya.

Menurutnya, musim kemarau tahun ini menyebabkan beberapa daerah di Pulau Jawa, Bali, dan Nusa Tenggara mengalami masalah kekurangan air bersih.

“Lebih buruk lagi, jika hujan tidak turun banyak kawasan tanaman padi bakal terjejas, sekali gus boleh mencetuskan krisis makanan,” jelasnya.

Tambahnya, musim kemarau tahun ini lebih buruk berbanding tahun lalu dan banyak daerah tidak menerima hujan lebih dua bulan.

“Lebih 25,000 hektar sawah tidak dapat diusahakan kerana tiada bekalan air dan lebih 200,000 hektar lagi berdepan risiko kekurangan air,” katanya.

Menurutnya, kerajaan mengambil beberapa langkah termasuk mengagihkan bekalan air bersih kepada penduduk terjejas.

Sementara itu, Naib Presiden Indonesia, Jusuf Kalla berkata, kerajaan memantau situasi berkenaan dan menyimpan bekalan beras sebagai persediaan sekiranya krisis makanan tercetus.

“Bukan sahaja kerajaan pusat, tetapi pemerintah wilayah, daerah dan kota harus memantau keadaan ini.

“Mulai sekarang usaha menyimpan stok beras dilakukan bagi mengatasi kekurangan bahan makanan itu di pasaran,” katanya. -Agensi