TENGKORAK haiwan yang diburu dijadikan hiasan di kediaman. |
Suku kaum Mentawai adalah antara kaum orang asli yang masih mengamalkan gaya hidup primitif dan tinggal di hutan terpencil di Indonesia.
Kaum ini juga terkenal kerana seni lukisan tatu pada badan dan menajamkan gigi kerana percaya ia menjadikan mereka lebih menarik.
Terdapat kira-kira 64,000 populasi kaum ini yang tinggal di hutan dan menggunakan kemahiran berburu untuk mencari makanan.
Kediaman kaum Mentawai dikenali sebagai Umas yang dibina daripada buluh, kayu dan rumput.
KEDIAMAN kaum Mentawai dikenali sebagai Umas yang dibina menggunakan buluh, kayu dan rumput. |
Setiap kediaman juga dihiasi dengan tengkorak haiwan yang diburu.
Anggota kaum Mentawai termasuk wanita mempunyai lukisan tatu unik pada badan mereka yang melambang kedudukan dalam masyarakat itu.
Tatu ini dicacah secara tradisional dengan menggunakan jarum dan kayu. Proses itu sangat menyakitkan.
Tinggal di hutan tebal dan terpencil, kehidupan unik kaum Mentawai sangat jarang diketahui dunia luar.
Bagaimanapun, pada bulan lalu, jurugambar muda tempatan, Muhammad Fauzy Chaniagom dibenarkan tinggal bersama kaum itu di Sumatera Barat selama empat hari.
SEORANG lelaki kaum Mentawai membawa kayu sagu untuk diproses. |
Peluang itu digunakan sepenuhnya Muhammad Fauzy, 19, untuk merakamkan kehidupan unik kaum berkenaan.
Muhammad Fauzy berkata, walaupun jarang bertemu orang luar dan tinggal di hutan terpencil, kaum Mentawai sebenarnya sangat peramah.
“Mereka menyambut saya dengan tangan yang terbuka.
“Apabila saya sampai ke penempatan ini mereka tersenyum dan memeluk saya,” katanya.
WANITA Mentawai bersama anaknya sedang memotong pokok sagu. |
Ujarnya, Mentawai antara suku kaum orang asli yang masih mengamalkan cara hidup tradisional yang diwarisi dari nenek moyang mereka.
“Kaum ini menolak semua yang berkait dengan kehidupan moden dan masih mempertahankan pakaian tradisional, peralatan dan tradisi termasuk tatu mereka.
“Setiap anggota mempunyai peranan masing-masing. Lelaki berburu mencari makanan dan wanita menjaga anak di rumah,” jelasnya.
Tambah Muhammad Fauzy, penerokaan hutan yang tidak terkawal menyebabkan kaum ini diancam arus kemodenan yang semakin mencengkam mereka.
Sumber: myMetro